Bayi Baru Lahir Catat Rekod Dunia, Jadi Pemegang Tiket Bermusim Kelab Blackburn Rovers Termuda
Seorang bayi berusia sembilan jam telah dinobatkan sebagai pemegang tiket bermusim termuda di dunia selepas datuknya membelikan tiket tersebut kepadanya, lapor Mirror UK.
Bayi yang diberi nama Georgia Wilson itu lahir pada jam 12.22 pagi, 27 September yang lalu.
Selepas beberapa jam dilahirkan, bayi tersebut telah menjadi pemegang tiket bermusim bagi kelab bola sepak Blackburn Rovers.
Atuknya, Andy Maxfield, 53 tahun memutuskan untuk membelikannya tiket tersebut kerana dia dan ibu bayi itu merupakan penyokong bagi kelab Blackburn. Manakala bapa bayi itu pula penyokong kelab Manchester United.
Sebagai cara untuk membantu bayi itu membesar dengan minat yang sama, dia memutuskan untuk membeli satu tiket tersebut untuk Georgia hanya beberapa jam selepas dilahirkan.
Andy dilaporkan tidak memberitahu kedua ibu bapa bayi tersebut sehinggalah tiket itu sampai.
Andy pada awalnya tidak menyedari bahawa cucunya Georgia bakal menjadi pemegang tiket bermusim termuda. Malah dia sempat berkata bahawa dia akan membeli tiket itu lebih awal jika pejabat jualan tiket berkenaan dibuka lebih awal.
“Ia bagus, tetapi saya rasa ianya adalah rekod yang mudah untuk dipecahkan oleh orang lain. Kerana jika seseorang dilahirkan pada pukul 2 petang maka mereka boleh pergi membelinya dan memecahkan rekod itu.
“Saya akan membeli tiket itu lebih awal jika pejabat jualan tiket tersebut dibuka lebih awal, tetapi saya terpaksa menunggu sehingga jam 9 pagi untuk membelinya.
“Saya juga fikir ia akan menjadi sesuatu yang baik untuknya apabila dia dewasa nanti. Kerana dalam usia yang muda sudah berjaya mencipta rekod,” kata Andy.
Andy yang telah menjadi pembeli tiket bermusim kelab Blackburn sejak tahun 1974 berkata, dia membeli tiket itu di tempat duduk sebelahnya. Di mana kerusi itu dahulunya adalah tempat anak perempuannya selalu duduk.
Walaupun, Georgia mempunyai tempat duduk di sebelahnya. Andy menegaskan bahawa dia tidak akan membawa Georgia menonton perlawanan itu dalam usia yang masih bayi lagi.
“Saya tidak tahu bila dia akan dibawa pergi menonton perlawanan tersebut. Namun saya mungkin akan membawa anak perempuan saya bersama atau saya mungkin membawa isteri saya supaya mereka boleh memegang Georgia sewaktu menonton perlawanan tersebut,” kata Andy lagi.
Kelab bola sepak memberitahu Andy bahawa Georgia boleh dibawa menonton perlawanan itu kerana dia masih di bawah umur dua tahun. Tetapi dia nekad membeli tiket berharga RM 232 itu sebagai tanda sokongan kepada kelab bola sepak tersebut.
Sumber: Mirror UK