Kecewa Kisah Anaknya Dijadikan Drama, Ayah Jeffrey Dahmer Mahu Saman Netflix
Baru-baru ini, drama bersiri Dahmer-Monster: The Jeffrey Dahmer (2022) yang diangkat daripada kisah sebenar melibatkan pembunuh bersiri, Jeffrey Dahmer telah mendapat rating tertinggi di Netflix memintas siri Squid Game dan Bridgerton.
Populariti yang diterima siri tersebut secara tidak langsung telah membawa kembali perhatian umum kepada sosok tubuh lelaki tersebut. Susulan itu, banyak pihak tampil mengkritik penghasilan ini yang didakwa akan memberi kesan kepada mangsa pembunuhan ngeri Dahmer dan juga kepada keluarga Dahmer yang tidak bersalah.
Meskipun siri tersebut berjaya menarik ramai penonton, ramai juga yang mengkritik bahawa siri adaptasi ini akan memberi kesan kepada keluarga mangsa pembunuhan ngeri Dahmer.
Malahan, ahli keluarga mangsa berkata bahawa mereka telah ‘dibutakan’ oleh siri Monster: The Jeffrey Dahmer Story kerana mereka tidak pernah dihubungi mengenai kejadian tersebut bakal diadaptasikan.
Salah seorang adik mangsa pembunuhan kejam Dahmer, Rita Isbell mengatakan menonton siri ini terasa seperti menghidupkan kembali insiden itu dan ia sangat mendukacitakan kerana mereka (Netflix) hanya mengaut keuntungan daripada siaran tragedi ini.
“Saya rasa Netflix sepatutnya bertanya sama ada kami keberatan atau tidak dan bagaimana perasaan kami sebelum menyiarkan siri adaptasi ini kepada khalayak umum.
“Mereka tidak bertanya apa-apa kepada saya dan terus melakukam penggambaran drama bersiri ini. Saya bukan mata duitan tetapi apa yang Netflix cuba lakukan ini hanyalah demi keuntungan sahaja.” katanya.
Rentetan daripada itu, bapa Dahmer, Lionel sedang mempertimbangkan untuk mengeluarkan saman kepada Netflix kerana tidak memaklumkan kepadanya mengenai siri adaptasi pembunuhan anaknya.

The New York Post melaporkan bahawa lelaki yang berusia 86 tahun itu kecewa dengan tindakan Netflix yang tidak menghubunginya dan memaklumkan tentang rancangan drama bersiri berkaitan kisah pembunuhan anaknya.
Selain itu juga, Lionel turut mengatakan Netflix tidak meminta kebenaran sebelum menggunakan pita rakaman perbualan antara Jeffrey Dahmer dengan peguam bela di dalam drama bersiri tersebut.
Di samping itu, Lionel juga ada menulis sebuah buku bertajuk A Father’s Story. Buku tersebut mengisahkan tentang anaknya pada tahun 1994 sejurus sebelum Jeffrey Dahmer dibunuh oleh seorang banduan di penjara.

Sementara itu, eBay bertindak untuk mengharamkan penjualan kostum Jeffrey Dahmer di laman webnya menjelang Halloween.
Ebay memaklumkan keputusan itu dibuat bagi menghormati mangsa-mangsa dalam kejadian tersebut dan akan mengambil tindakan terhadap sesiapa sahaja yang cuba menjual barangan yang berkaitan dengan Jeffrey Dahmer di platformnya.
Sumber: UNILAD