Kementerian Pertahanan (MINDEF) telah melakukan perbincangan secara bersemuka bersama pihak-pihak berkepentingan bagi memastikan mobilisasi projek Kapal Tempur Pesisir (Littoral Combat Ship, LCS) dapat dilaksanakan dalam masa yang ditetapkan.
Beberapa pegawai tertinggi MINDEF, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNSSB) telah mengadakan mesyuarat dua hala bersama Pengarah International Directorate (DGA), Gaël Diaz De Tuesta, pihak Kementerian Pertahanan Perancis serta Naval Group dalam satu lawatan kerja ke Euronaval di Perancis baru-baru ini.


Hasil pertemuan itu, pihak Naval Group telah berjanji untuk memastikan projek berkenaan siap mengikut masa ditetapkan kerajaan Malaysia.
“Pihak Naval Group telah menyatakan persetujuan dan menyokong penuh usaha Kerajaan untuk meneruskan projek LCS,” jelas MINDEF dalam satu kenyataan semalam.
“Pihak Naval Group juga menyatakan persetujuan untuk meneruskan rundingan dengan pihak BNSSB berhubung harga.”


Respon positif dalam rundingan ini dipercayai memberi petunjuk signifikan dalam mobilisasi projek LCS, sekaligus memperkukuh usaha semua pihak terlibat di Malaysia untuk memastikan projek ini dapat diteruskan semula dengan sebaik mungkin.
“Ia juga menunjukkan Fasa Mobilisasi berjalan lancar dan semua pihak berkaitan melaksanakan peranan masing-masing dengan sebaik mungkin.
“Dengan perkembangan ini, dijangkakan semua rundingan akan dapat dimuktamadkan pada penghujung Disember ini,” ulas MINDEF.
Tambah kenyataan itu, pihak Kementerian Pertahanan akan terus memaklumkan perkembangan projek LCS kepada orang ramai dari masa ke masa.

Appendix:
1. Tinjauan Dato’ Sri Muez bin Abd Aziz bersama Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Abdul Rahman bin Haji Ayob ke booth Pameran Euronaval di Perancis.
2. Pertemuan bersemuka kedua-dua pihak telah mencapai kesepakatan yg positif dalam usaha mobilisasi projek LC
3. Perbincangan secara bersemuka delegasi Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan bersama pihak Naval Group dan Kementerian Pertahanan Perancis bagi kelancaran projek LCS.
4. KSU dan delegasi Kementerian Pertahanan turut menyaksikan sesi menandatangani dan penyerahan kontrak penyertaan LIMA 2023 di antara Alpine Integrated Solution, selaku penganjur LIMA 2023 dengan beberapa pempamer semasa Pameran Euronaval di Perancis.
5. Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan bersama delegasi di Booth Pameran LIMA 2023 di Euronaval, Perancis.