Sekumpulan arkeologis dari Sweden dilapor telah temui sebuah kapal perang purba dipercayai wujud pada abad ke-17.
Sebuah kapal perang ikonik abad ke-17 yang karam pada pelayaran sulungnya dilaporkan telah ditemui oleh sekumpulan ahli arkeologi maritim Sweden, lapor Muzium Kapal Karam Sweden.
Dilancarkan pada tahun 1629, kapal Applet (The Apple) dibina oleh tukang pembuat kapal yang sama dengan kapal ‘saudaranya’, Vasa 69 meter (225 kaki) yang kini dipamerkan di Stockholm selepas diselamatkan pada tahun 1960-an, lapor The Guardian.
“Jantung kami berdegup kencang apabila melihat bangkai kapal yang dijumpai itu serupa dengan Vasa,” kata Jim Hansson, salah seorang ahli arkeologi maritim Sweden berkenaan.
Difahamkan, bangkai kapal itu ditemui pada Disember 2021. Sehubungan itu, pemeriksaan yang lebih teliti mula dijalankan sejak musim bunga 2022.
Menurut Hansson, pembinaan dan dimensi kapal berkenaan dilihat ‘serupa’ dan secara tidak langsung memberi harapan bahawa ia boleh menjadi salah satu kapal saudara Vasa.
Memetik The Guardian, bahagian sisi kapal tersebut telah jatuh sehingga menunjukkan beberapa meriam di tingkat dua.

Selain itu, tiga buah kapal lain yang ditempah dari pembuat kapal yang sama seperti Applet ialah Kronan (The Crown) dan Scepter.
Mengenai kapal Vasa, ia dinamakan sebegitu bersempena dengan nama salah seorang raja Sweden, Vasa yang memberi maksud untuk berkhidmat sebagai simbol kekuatan tentera Sweden pada masa itu.
Namun begitu, kapal tersebut terbalik selepas belayar lebih dari 1,000 meter. Ia telah diselamatkan pada 1961 dan dipamerkan di salah satu tempat pelancongan yang paling popular di Stockholm, Muzium Vasa.
Menurut The Guardian, kapal-kapal itu berkhidmat dalam angkatan tentera laut Sweden dan mengambil bahagian dalam peperangan di lautan.
Kapal-kapal tersebut juga dipercayai telah ditenggelamkan dengan sengaja selepas ia ditamatkan dalam perkhidmatan dan berfungsi sebagai “spike strip” untuk merampas kapal musuh, lapor The Guardian.
Sumber: The Guardian