Sebuah peti sejuk telah menyelamatkan nyawa seorang nelayan apabila bot dinaiki lelaki itu karam dalam kejadian di perairan Krabi, Thailand beberapa hari lepas.
Menurut The Thaiger, nelayan tersebut dikatakan berbaring di dalam peti sejuk dan terapung selama enam jam sehingga diselamatkan oleh nelayan lain.
Pada awalnya Anat Massoyot, berusia 33 tahun membawa botnya keluar untuk menangkap ikan di pulau Lao Hang yang terletak berdekatan dengan Pulau Hong.
Selain itu juga, Anat turut mengatakan cuaca pada ketika itu berada dalam keadaan baik. Namun begitu, botnya secara tiba-tiba dipukul ombak besar.
Selepas itu, air laut mulai memenuhi ruang badan bot secara perlahan-lahan sehingga menyebabkan ia karam di tengah lautan.
Kebetulan ketika itu Anat turut membawa sebuah peti sejuk lama di atas bot berkenaan yang digunakan untuk menyimpan ikan hasil tangkapannya di laut.
Justeru beliau bernasib nasib kerana sempat menggunakannya sebagai tempat berlindung ekoran bot sudah mulai tenggelam dan karam.
Beliau kemudiannya bertindak merangkak ke dalam peti sejuk dan berdoa agar seseorang datang menyelamatkannya sambil membiarkan dirinya hanyut dibawa ombak berseorangan.
Enam jam baru dijumpai
Enam jam selepas itu, seorang nelayan tempatan telah menjumpai Anat dan membantu beliau keluar dari peti sejuk tersebut untuk dibawa ke darat.
Dengan bantuan nelayan tempatan itu, Anat bersyukur kerana ada orang yang telah menyelamatkan nyawanya.
Walau bagaimanapun, Anat berkata bahawa beliau tidak tahu apa yang perlu dilakukan sekarang kerana botnya yang digunakan untuk mencari sumber rezeki sudah karam di tengah laut.
Sementara itu, ketua kampung Kampung 3, Somsak Debbut berkata beliau telah mengerahkan pasukan penyelamat untuk mencari bot Anat.
Memetik laporan The Thaiger, pasukan berkenaan pergi ke tempat kejadian untuk mencari bot Anat tetapi tiada sebarang petunjuk botnya dijumpai.
Dalam pada itu, Somsak turut menghubungi kerajaan tempatan untuk membantu mengumpul dana bagi membeli bot baharu untuk disumbangkan kepada Anat.
Di samping itu, dermawan tempatan, rakan dan keluarga terdekat juga turut menawarkan diri untuk membantu Anat supaya boleh kembali ke laut mencari rezeki.
Imbas kembali pada bulan lepas, berlaku kejadian hampir serupa di mana dua pelancong lelaki kacukan Thailand dan Taiwan dihanyutkan ke laut ketika sedang berkayak di luar pantai di wilayah Rayong dalam keadaan berombak.
Pelancong tersebut dilapor terjatuh daripada kayak hingga menyebabkan salah seorang daripada mereka lemas.
Manakala seorang lagi mangsa terpaksa berpaut pada mayat rakannya yang lemas sepanjang malam sehingga dia diselamatkan oleh nelayan yang lalu di kawasan itu pada keesokan harinya.
Sumber: The Thaiger