Siakap Keli
Gambar: Oddity Central

Dipercayai Mampu Bersihkan Kotoran Hingga Liang Pori, Syarikat Jepun Cipta Teknologi Mesin Basuh Tubuh Manusia

Dipercayai Mampu Bersihkan Kotoran Hingga Liang Pori, Syarikat Jepun Cipta Teknologi Mesin Basuh Tubuh Manusia

Sebuah syarikat teknologi Jepun, Science dilaporkan sedang membangunkan teknologi mesin basuh manusia bagi membersihkan tubuh badan, lapor Daily Mail semalam.

Syarikat yang berpengkalan di Osaka, Jepun itu memaklumkan bahawa teknologi mandian ultrasonik dengan gelembung air berkelajuan tinggi mampu membersihkan kotoran hingga liang-liang pori.

Menurut saintis yang membangunkan teknologi tersebut, ia dikuasakan dengan sistem AI yang pintar.

Gambar: Oddity Central

Tambahan lagi, projek yang digelar ‘Projek Usoyaro‘ itu bakal siap sepenuhnya pada 2024 dan diperkenalkan pada tahun berikutnya di Ekspo Osaka.

Pengerusi Science Co. Ltd, Yasuaki Aoyama, pada awalnya menyatakan bahawa beliau mendapat inspirasi daripada idea asal, Sanyo Bath yang diperkenalkan di Osaka sejak beliau berusia 10 tahun.

Tambah Aoyama sewaktu memberitahu Televisyen Osaka, beliau menjelaskan bahawa syarikatnya kini sedang berusaha mencipta mesin basuh manusia versi moden yang terdiri daripada produk Mirable, dan kini dikenali sebagai ‘Mirabus‘.

Beliau turut mendapat bantuan daripada bekas jurutera Sanyo, Eiji Yamatani dan Manatsu Ueda, serta penyelidik di Universiti Osaka dalam projek tersebut.

Berdasarkan prototaip semasa, pengguna hanya perlu duduk di atas kerusi sebelum teknologi itu berfungsi dengan air dan buih mikro membersihkan kotoran dari liang kulit.

Teknologi itu juga disertakan dengan sambungan elektrokardiograf pada kerusi bagi mengukur kadar denyutan jantung pengguna.

Ia bertujuan memantau tahap sistem saraf sympathetic dan parasympathetic pengguna. Dengan AI yang terbina dalam sistem teknologi dan data yang dikumpulkan dapat mewujudkan suasana paling selesa.

Gambar: Oddity Central

Matlamat syarikat ini bukan sahaja tertumpu kepada memberikan pengalaman paling selesa kepada pengguna sewaktu pemandian, malah turut menyediakan ruang healing bagi membolehkan pengguna untuk berehat dengan mendengar muzik serta menyaksikan imej yang dipaparkan di dalamnya.

Syarikat berkenaan berharap teknologinya dapat digunakan di hospital dan rumah penjagaan serta di rumah-rumah penduduk pada masa hadapan.

Gambar: Oddity Central

Terdahulu, pada 1970, sebuah ekspo di Pavilion Osaka telah mempamerkan Mandian Ultrasonik berbentuk telur daripada Sanyo Electric.

Difahamkan, teknologi itu secara automatik diisi dengan air panas sebaik sahaja pengguna duduk di dalamnya. Sebanyak 300 bola urut berperanan mengurut badan pengguna dan gelombang supersonik membersihkan kotoran yang hanya mengambil masa selama 15 minit.

Bagaimanapun, teknologi yang dihasilkan pada ketika itu gagal menjadi produk komersial. Susulan itu, ia kemudiannya diolah kembali oleh Aoyama yang menjadikan teknologi itu lebih privasi.

Pada 2007, beliau juga berjaya menjual kepala paip air pancut ‘Mirable’ yang kini digunakan di rumah dan di hospital di seluruh dunia.

Sumber: Daily Mail, Oddity Central

Iqbal Yasir

A wise man once said "Siuuuuu"

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.