Siakap Keli

Kawan Ajak Jadi “Downline” Tapi Takut Tertipu, Ni Cara Nak Semak Syarikat Anda Nak Join “Legit” Atau Tak

Kawan Ajak Jadi “Downline” Tapi Takut Tertipu, Ni Cara Nak Semak Syarikat Anda Nak Join “Legit” Atau Tak

Dalam keadaan ekonomi negara dan dunia tak stabil kini, kadang-kadang buat satu pekerjaan sahaja memang tak cukup untuk menampung perbelanjaan bulanan. Macam-macam cara nak tambahkan pendapatan ni. Ada yang berniaga secara online, jadi penghantar makanan dan ada juga yang buat jualan langsung.

Bila cakap pasal jualan langsung je mesti orang terfikir “eh MLM ke tu?”, “Boleh percaya ke jualan langsung semua ni?” Ramai yang dah kena ‘kencing’ dengan syarikat-syarikat yang tidak berdaftar dan tidak sah untuk menjalankan perniagaan jualan langsung. Bila kita dah bayar sejumlah duit, tuan empunya syarikat pun lesap.

Hari ini SK nak berkongsi dengan anda cara-cara nak pastikan syarikat yang anda nak sertai itu “legit” dan anda boleh jana pendapatan dengan sah dan selamat. Tahukah anda Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menguatkuasakan Akta Jualan Langsung dan Skim Anti Piramid 1993 [Akta 500].

Akta 500 ini suatu Akta untuk membuat peruntukan bagi pelesenan orang yang menjalankan perniagaan jualan langsung, bagi pengawalseliaan penjualan langsung, bagi larangan skim atau perkiraan piramid, skim atau perkiraan pengedaran berantai, atau apa-apa skim atau perkiraan yang serupa dengannya, dan bagi perkara-perkara lain yang berkaitan dengannya.

Anda juga perlu mengenali ciri-ciri jualan langsung yang sah. Pertama, produk yang dijual mestilah produk yang berkualiti dan mempunyai kelulusan badan profesional seperti KKM dan SIRIM. Menekankan kelebihan produk dan jumlah jualan yang dibuat. Seterusnya, mempunyai kontrak jualan bertulis dan “buy back policy”. Peserta boleh mengundur diri dan dibayar balik apabila memulangkan semula produk yang dipasarkan.

Selain memastikan syarikat tersebut ada produk sebenar untuk dijual, anda kena pastikan juga syarikat tersebut menyertai persatuan syarikat jualan langsung iaitu Direct Selling Association of Malaysia (DSAM) dan Malaysian Direct Distribution Association (MDDA) serta syarikat tersebut memiliki lesen jualan langsung yang sah.

Walaupun ada konsep downline, syarikat tetap legit jika memiliki lesen yang sah, sertai persatuan dan ada produk yang sebenar. Antara syarikat jualan langsung yang sudah lama bertapak di Malaysia seperti Tupperware, Amway, Herbalife dan Avon. Anda boleh menyemak senarai syarikat berdaftar di laman web SINI.

Syarikat yang tidak berdaftar atau lesen tamat tempoh boleh dikompaun. Orang ramai boleh membuat aduan melalui pelbagai platform disediakan KPDNHEP termasuk melalui aplikasi Whatsapp, Aplikasi Ez Adu KPDNHEP dan Portal e-aduan. Untuk perkhidmatan di Whatsapp waktu operasi Isnin hingga Jumaat dari jam 9 pagi hingga 5 petang.

Tak salah pun jika anda ingin menambah pendapatan melalui jualan langsung selagi ia sah, ada produk yang sebenar dan tidak melanggar peraturan di Malaysia. Jadilah pengguna yang bijak, semak dahulu maklumat yang didaftarkan. Sekiranya terdapat banyak aduan berhubung syarikat tersebut, tangguhkan dulu niat untuk menjadi ahli atau cari syarikat lain yang sah.

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.