Siakap Keli
Gambar Via Bloomberg

Penguatkuasaan SIRIM Pada Pelitup Muka Bukan Perubatan Hanya Untuk Pengilang & Pengimport – KPDNHEP

Susulan penguatkuasaan perakuan serta penandaan MS SIRIM bagi pelitup muka bukan perubatan, Kementerian Perdagangan Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menasihatkan orang awam agar tidak panik.

Menurut kementerian itu, tindakan penguatkuasaan hanya tertakluk terhadap pengilang atau pengimport pelitup muka bukan perubatan yang tidak mendapatkan perakuan SIRIM sahaja.

“Orang awam yang memakai pelitup muka bukan perubatan tanpa perakuan SIRIM tidak akan diambil tindakan undang-undang,” kata KPDNHEP menerusi Twitter.

Tambah kementerian itu lagi, individu yang boleh dikenakan tindakan bukanlah individu pengguna atau pemakai pelitup muka.

Namun, ia merujuk kepada individu yang mengilang dan mengimport pelitup muka bukan perubatan tanpa perakuan SIRIM.

Terdahulu, penguatkuasaan tersebut telah ditangguhkan sehingga 1 Januari 2023.

Difahamkan, penangguhan itu memberi ruang kepada industri dan rakyat untuk membuat penyesuaian.

Sebelum ini, KPDNHEP memaklumkan bahawa permohonan perakuan serta penandaan MS SIRIM pada pelitup muka berkuat kuasa mulai 4 Julai depan.

Langkah itu dilakukan berikutan pewartaan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan) Pelitup Muka Bukan Perubatan 2022 di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.

Penandaan MS SIRIM itu perlu diletakkan pada kotak atau bungkusan yang mudah dilihat oleh pengguna.

BACA: SIRIM Pada Pelitup Muka Bukan Perubatan Perlu Lulus 4 Ujian

Sumber: KPDNHEP 

Sofea

There's always another side to every story