Api Marak & Asap Menjulang, Saluran Paip Di Kompleks Bersepadu Pengerang Dilapor Meletup
Paip penyambung di Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) dilaporkan telah meletup dan terbakar pada Khamis, 27 Oktober 2022, lapor Sinar Harian.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sebana Cove, Penolong Kanan Penguasa Bomba Masri Ibrahim berkata, pada jam lebih kurang 4.12 petang pihak mereka telah menerima panggilan kecemasan berhubung insiden tersebut.
“Seramai tujuh anggota dengan tiga buah jentera dikejarkan ke tempat kejadian. Kebakaran melibatkan penyambungan pada saluran paip untuk projek N-OSBL.
“Pemadaman telah dilakukan anggota Central Emergency and Fire Services Response (CEFS) sebelum pihak bomba tiba di lokasi dan dapat dikawal pada jam 4.23 petang,” katanya dalam kenyataan pada Khamis, lapor Sinar Harian.
Disamping itu, pihak PIC juga memaklumkan bahawa kejadian itu telah berlaku sekitar jam 3.40 petang dan pihak CEFS telah bertindak pantas dengan memadam api kebakaran daripada terus merebak.
Difahamkan juga, api kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya pada pada jam 450 petang.
“Tiada kemalangan jiwa dan kejadian tidak menjejaskan atau memberi ancaman kepada masyarakat sekitar,” tambah kenyataan itu.
BACA: Gadis Tionghua Hidupkan Seni Melayu, Diangkat Jadi Cikgu Zapin Di Negara China
Sumber: Sinar Harian