Seakan Tersenyum Ceria, Imej Matahari Dirakam NASA Ini Tular
Satelit Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) dilaporkan berjaya merakam imej matahari yang kelihatan seakan sedang ‘tersenyum’ pada minggu lalu.
Memetik laporan The Guardian, foto itu telah didedahkan di laman Twitter @NASASun pada Rabu lalu.
“Hari ini Balai Cerap Dinamik Suria NASA merakam gambar matahari ‘tersenyum’. Dalam cahaya ultraungu, tompok-tompok hitam itu dikenali sebagai lubang koronal dan merupakan kawasan yang membolehkan angin suria memancar ke angkasa lepas,” maklum NASA menerusi ciapan itu.
Say cheese! 📸
Today, NASA’s Solar Dynamics Observatory caught the Sun "smiling." Seen in ultraviolet light, these dark patches on the Sun are known as coronal holes and are regions where fast solar wind gushes out into space. pic.twitter.com/hVRXaN7Z31
— NASA Sun, Space & Scream 🎃 (@NASASun) October 26, 2022
Susulan foto yang dimuat naik itu, ia telah meraih perhatian pengguna media sosial.
Sebahagian netizen membandingkan gambar matahari itu dengan rupa labu Halloween, singa dan matahari dalam siaran rancangan TV kanak-kanak, Teletubbies.
Walaupun kelihatan ‘ceria’, namun pakar memberi amaran bahawa lubang koronal yang terbentuk pada matahari itu berkemungkinan mencetuskan ribut suria yang bakal melanda Bumi.
“Matahari memuntahkan pancaran ribut suria tiga kali ganda ke arah Bumi,” kata Spaceweather.com.
Ribut suria adalah letusan jisim dan tenaga yang dihasilkan dari permukaan matahari yang seterusnya mengubah bentuk medan magnet bumi.
Impak daripada fenomena itu, ia dapat meningkatkan penampakan cahaya di langit yang dikenali sebagai aurora di hemisfera utara dan selatan.
Untuk pengetahuan, Balai Cerap Dinamik Suria Nasa merupakan misi yang bertujuan untuk menyiasat bagaimana aktiviti suria tercipta dan mempengaruhi cuaca angkasa.
Ia mula dilancarkan pada 11 Februari 2010 dan ketika itu kapal angkasa balai cerap digunakan bagi mengukur dalaman matahari, atmosfera, medan magnet dan penghasilan tenaga.
Sumber: The Guardian