Siakap Keli
Imej 'Berwarna' Alam Semesta
Gambar: NASA

Pertama Kali Dalam Sejarah, NASA Dedah Imej ‘Berwarna’ Alam Semesta

Pertama Kali Dalam Sejarah, NASA Dedah Imej ‘Berwarna’ Alam Semesta

Teleskop Angkasa James Webb merupakan sebuah teleskop berkuasa tinggi yang direka khas untuk menjalankan kajian astronomi inframerah.

Teleskop tersebut telah dilancarkan ke angkasa lepas dengan memiliki resolusi dan kepekaan inframerah yang tinggi sehingga mampu memfokuskan sesebuah objek dalam jangka masa yang lama tanpa mengira jarak.

Pada tahun lepas, teleskop tersebut telah dilancarkan ke angkasa buat kali pertama. Kini, teleskop tersebut telah berjaya menangkap sebuah imej alam semesta yang dipenuhi warna dan dianggarkan bernilai RM44 bilion ($10 bilion).

Imej pertama dari Teleskop Angkasa James Webb NASA telah menawarkan pemandangan baharu alam semesta yang menakjubkan kepada manusia pada hari Isnin lalu.

Imej tersebut menggunakan teknologi inframerah pertama sehingga boleh menunjukkan bintang dan galaksi yang sangat jauh seperti yang muncul 13 bilion tahun lalu.

Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden telah mendedahkan imej baharu itu pada hari Isnin di Rumah Putih bersama Naib Presiden Kamala Harris dan pegawai NASA.

“Ia merupakan foto berwarna pertama yang diperoleh oleh balai cerap, maka ia memiliki nilai setinggi RM44 bilion.”

Gambar yang difotokan oleh teleskop itu memaparkan kaleidoskop galaksi yang mana setengah daripadanya kelihatan sebagai titik bercahaya manakala yang lain seakan bengkok dan bergaris-garis  yang diakibatkan oleh graviti sewaktu dalam perjalanan panjang mereka ke Bumi.

Ia adalah foto yang menawarkan perspektif baharu kepada manusia tentang skala alam semesta.

“Jika anda memegang sebutir pasir di hujung jari anda separas lengan, itu adalah bahagian alam semesta yang anda lihat,” kata Pentadbir NASA Bill Nelson.

Beliau mendefinisikan foto yang diperoleh itu hanya satu titik kecil dari alam semesta.

Imej itu, mengingatkan Hubble Deep Fields yang pada mulanya mengejutkan saintis dengan foto galaksi purba dan gugusan galaksi SMACS 0723 seperti yang muncul 4.6 bilion tahun lalu.

Menurut NASA, jisim gugusan galaksi membesar dan memesongkan objek yang jauh lebih jauh di belakangnya dan dikenali sebagai fenomena kanta graviti.

Universiti California Santa Cruz menjadikan imej itu tersedia dalam format yang boleh dibesarkan dan membolehkan orang ramai melihat dengan lebih dekat.

Kanta inframerah teleskop Webb telah menarik objek yang biasanya samar dan jauh ini menjadi fokus dan tajam.

Selain itu, ia juga memberikan pandangan beberapa galaksi dan gugusan bintang yang tidak pernah dilihat sebelumnya, kata pegawai NASA.

Cahaya tertua dari beberapa objek ini bermula kira-kira 13 bilion tahun yang lalu, pada zaman awal alam semesta.

“Imej ini akan mengingatkan dunia bahawa Amerika boleh melakukan perkara besar, dan untuk mengingatkan rakyat Amerika, terutamanya anak-anak kita, bahawa tiada apa-apa di luar kemampuan kita,” kata Biden sejurus sebelum imej itu didedahkan.

Dalam taklimat berita bulan lepas, Thomas Zurbuchen, pentadbir bersekutu Direktorat Misi Sains NASA, berkata ia mungkin akan mewakili titik perubahan dalam pemahaman manusia tentang kosmos.

“Ia bukan imej. Ia pandangan dunia baharu,” kata Zurbuchen pada masa itu.

Imej itu menawarkan gambaran tentang alam semesta seperti 13 bilion tahun yang lalu. Teleskop pada asasnya berfungsi sebagai mesin masa kerana ia mengambil masa untuk cahaya bergerak melalui angkasa.

Oleh itu, cahaya yang sampai ke teleskop Webb dari galaksi paling jauh di alam semesta tidak menunjukkan keadaan semasa tetapi memberikan pandangan tentang bagaimana alam semesta berbilion tahun yang lalu.

Para saintis berkata bahawa Teleskop Angkasa James Webb boleh membuka misteri sejak 100 juta tahun selepas fenomena Big Bang.

“Mata” inframerah Balai Cerap Webb membolehkannya melihat bintang dan galaksi yang jauh di luar julat penglihatan manusia dan teleskop lain, seperti Teleskop Angkasa Hubble.

Instrumen inframerah lebih sesuai untuk mengesan bintang dan galaksi terawal alam semesta kerana panjang gelombang cahaya inframerah lebih panjang sehingga boleh menembusi habuk dan gas yang mungkin mengaburkan beberapa objek angkasa.

“Memandangkan alam semesta juga mengembang, cahaya dari bintang dan galaksi terawal diregangkan dan beralih kepada panjang gelombang inframerah yang lebih panjang yang mana tidak dapat dikesan oleh Hubble atau mata manusia.”

Dalam acara berasingan pada hari Selasa, NASA mengeluarkan lebih banyak imej dari teleskop Webb, termasuk spektrum eksoplanet pertama balai cerap.

Imej tersebut menunjukkan cahaya yang dipancarkan pada panjang gelombang berbeza dari planet dalam sistem bintang lain. Jenis pemerhatian ini boleh membantu saintis mencari tanda-tanda kehidupan di luar Bumi.

Teleskop Angkasa James Webb ialah kerjasama antara NASA, Agensi Angkasa Eropah dan Agensi Angkasa Kanada.

Balai cerap bersaiz gelanggang tenis direka khas untuk mengkaji hari-hari awal selepas Letupan Besar dan membantu ahli astronomi menyatukan bagaimana alam semesta moden terbentuk.

Sumber: NBC News

Nurfatihah Shahirah Azzuddin