Siakap Keli
pejabat pos tertua malaysia
Kredit: Bernama

Berusia Hampir 100 Tahun, Kenali Pejabat Pos Tertua Di Malaysia

Berusia Hampir 100 Tahun, Kenali Pejabat Pos Tertua Di Malaysia

Ketika melalui kawasan Kuala Selangor, anda berkemungkinan terjumpa dengan salah satu bangunan kayu berwarna putih di bahu jalan. Sekali imbas, anda menyangka bahawa bangunan tersebut berkemungkinan rumah yang didiami penduduk di kawasan tersebut.

Jika diamati dengan lebih mendalam, bangunan ini bukanlah rumah yang biasa didiami oleh penduduk-penduduk di kawasan terbabit.

Bangunan ini memiliki keunikan yang mana memiliki papan tanda Pos Malaysia di hadapannya, menunjukkan bahawa bangunan kayu ini sebenarnya adalah sebuah pejabat pos.

Gambar: Bernama

Yang menjadikan lebih unik, bangunan yang berusia hampir 100 tahun ini merupakan pejabat pos tertua di negara kita.

Berdasarkan laporan SelangorTV pada tahun lepas, Pejabat Pos Bukit Rotan di Kuala Selangor telah diiktiraf sebagai pejabat pos tertua di Malaysia.

Bangunan antik bersaiz kecil serta memiliki warna putih susu ini dilaporkan telah dibina pada 1926, kira-kira 98 tahun yang lalu.

Uniknya, pejabat pos ini masih mengekalkan struktur dan bentuk binaan asalnya sejak awal pembinaannya sekitar 1920-an.

Selain itu, bangunan usang ini turut menggamit nostalgia apabila memampilkan hiasan ukiran klasik persis rumah tradisional orang Melayu.

Berkenaan dengan reka bentuknya pula, penduduk tempatan mahukan reka bentuk asal bangunan yang bersejarah itu dikekalkan untuk tatapan orang ramai.

Gambar: Bernama

Masih beroperasi sehingga ke hari ini

Sehingga ke hari ini, bangunan pejabat pos itu masih mengekalkan fungsinya dalam menempatkan urusan-urusan berkaitan pos seperti penghantaran bungkusan, pembelian setem dan sebagainya.

Pintu pagar akan dibuka petugas Pos Malaysia seawal 8.30 pagi bagi memenuhi permintaan perkhidmatan pos di kawasan terbabit. Beroperasi selama lima hari seminggu, bermula dari hari Isnin hingga Jumaat dan menutup operasi pada jam 5.30 petang.

Gambar: Bernama

Salah satu keunikan dalam pejabat pos ini adalah sistem bernombor tidak digunakan seperti kebanyakan pejabat pos yang lain.

Sungguhpun tidak menggunakan sistem bernombor, para pelanggan yang datang dilaporkan merasa selesa menunggu di ruang yang disediakan.

Menurut SelangorTV,  Pejabat Pos Bukit Rotan biasanya akan menerima kunjungan pengunjung kira-kira 30 hingga 50 orang setiap hari.

Secara spesifiknya, pejabat pos yang dikelilingi ladang kelapa sawit itu akan menerima ramai pengunjung sewaktu awal bulan.

BACA: Pelik, Pakcik Tua Buat Tangga Nak Panjat Tengok Anak Bulan

Sumber: SelangorTV & BernamaTV via X

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma