KKM Kesan Empat Kes Jangkitan Tempatan Varian Omicron XBB – Khairy
Menteri Kesihatan Malaysia, Khairy Jamaluddin memaklumkan bahawa terdapat sebanyak empat kes jangkitan tempatan varian Omicron XBB yang telah dikesan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Singapura telah melalui gelombang XBB yang telah mengambil masa dalam tiga hingga empat minggu untuk menurun dan barangkali kita juga berdepan dengan jangkitan XBB.
“Setakat ini, kita telah mengesan empat kes XBB di bawah penjujukan genom Institute of Medical Research (IMR) dan saya telah meminta supaya banyak lagi kes penjujukan genom dilakukan,” katanya.
Menerusi kenyataan dalam sidang media sebentar tadi, Khairy berkata kes-kes itu adalah kategori 2 dengan gejala demam, batuk, sakit tekak dan selesema.
“Semua kes adalah warganegara Malaysia yang dikesan positif melalui survelan penjujukan genom IMR. Semua kes adalah kategori 2, maksudnya gejala demam, batuk, sakit tekak yang sederhana sahaja, tidak terlalu serius.
“Hanya satu kes merupakan kes jangkitan semula (reinfection). Kes-kes tersebut telah menjalani isolasi selama seminggu dan semua kontak rapat juga telah dikenal pasti,” jelasnya lagi.
Tambah Khairy, empat kes yang dilaporkan melibatkan tiga orang lelaki dan seorang wanita yang berumur antara 25 hingga 51 tahun dari Selangor dan Negeri Sembilan.
“KKM kini sedang mengkaji kebolehjangkitan semula varian XBB dengan kadar yang lebih cepat berdasarkan data yang diperolehi oleh Singapura,” maklumnya lagi.
“Hanya satu (1) kes merupakan kes jangkitan semula (reinfection). Kes-kes telah menjalani isolasi selama tujuh (7) hari seperti yang diarahkan di dalam MySejahtera. Semua kontak rapat juga telah dikenal pasti dan berada dalam keadaan sihat.” – @Khairykj
— KKMalaysia🇲🇾😷 (@KKMPutrajaya) October 31, 2022
Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia