Siakap Keli
Gambar: Bernama

Pemakaian Pelitup Muka Dalam Kapal Terbang Tidak Lagi Diwajibkan Bermula Hari Ini – Khairy

Pemakaian Pelitup Muka Dalam Kapal Terbang Tidak Lagi Diwajibkan Bermula Hari Ini – Khairy

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini memaklumkan bahawa pemakaian pelitup muka tidak lagi diwajibkan sewaktu menaiki kapal terbang.

Menteri Kesihatan Malaysia, Khairy Jamaluddin dalam satu kenyataan berkata protokol baharu itu akan mula berkuatkuasa serta-merta pada hari ini, 28 September 2022.

Tambah Khairy, KKM bagaimanapun amat menggalakkan agar pemakaian pelitup muka terus diamalkan bagi tiga kumpulan yang berisiko termasuklah individu yang bergejala seperti demam, batuk dan selsema.

Manakala individu yang berisiko pula ialah warga emas, orang yang menghidap penyakit kronik, ibu mengandung dan individu dengan imuniti rendah.

Selain itu, individu yang mengembara bersama orang berisiko tinggi seperti warga emas dan kanak-kanak turut tidak terkecuali, maklum Khairy.

“Keputusan yang dibuat ini adalah menggunakan pendekatan berasaskan risiko dan telah mengambil kira penambahbaikan dalam teknologi kapal terbang dan beban kes COVID-19 di Malaysia yang lebih terkawal ketika ini,” katanya.

Antara kriteria yang diambil kira termasuklah pengudaraan yang baik dalam kabin, penggunaan penapis high-efficiency particulate absorbing (HEPA) untuk mengeluarkan bahan cemar bawaan udara, susunan tempat duduk di hadapan dan kekerapan penjadualan disinfeksi kapal terbang.

“Kelonggaran ini juga adalah selaras dengan syor kesihatan daripada negara-negara seperti Kesatuan Eropah, United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia, New Zealand dan Singapura.

“Keperluan pemakaian pelitup muka di dalam kapal terbang bagaimanapun masih tertakluk kepada syarat yang ditetapkan oleh negara yang dikunjungi.” jelasnya dalam kenyataan tersebut.

Terdahulu, pada 7 September 2022, KKM telah mengumumkan kelonggaran terhadap keperluan pemakaian pelitup muka di dalam bangunan (indoor) dan memutuskan bahawa ia merupakan satu pilihan.

Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?