Siakap Keli
seludup lebah
Gambar: Kementerian Perdagangan Turki & Daily Sabah

Percubaan Seludup 110 Kotak Lebah, Lelaki Sangkut Di ‘Airport’

Percubaan Seludup 110 Kotak Lebah, Lelaki Sangkut Di ‘Airport’

Seorang lelaki warga Georgia ditahan setelah dipercayai menyeludup lebah dengan melekatkan 110 kotak yang mengandungi 1,100 lebah di badannya untuk diseludup ke Turkiye, lapor Daily Star.

Difahamkan, lelaki itu yang dikenali sebagai TB telah ditahan di sebuah lapangan terbang di sempadan Turki-Georgia Sarp pada 22 Oktober lalu.

Kejadian itu dilaporkan oleh media tempatan Turkiye, Daily Sabah yang memaklumkan pergerakan suspek ketika melalui pemeriksaan keselamatan menyebabkan penggera berbunyi.

Walaupun suspek mempunyai dokumen sah untuk menyeberangi sempadan negara, namun pihak kastam berjaya mengesan tingkah lakunya yang agak mencurigakan.

Suspek kemudian diarah untuk mengangkat bajunya yang dipakai, akhirnya tembelangnya terbongkar apabila sebanyak 110 kotak berisi serangga yang dilekatkan pada badannya terdedah.

Menurut laporan, setiap isi kotak mengandungi seekor ratu lebah yang ditempatkan bersama dengan sembilan ekor lebah lain.

Sementara itu, jurucakap Pendakwa Raya Turkiye menerusi Pejabat Hopa mendapati suspek merupakan warganegara Georgia dan berusia lingkungan antara 45 hingga 55 tahun.

Namun buat masa itu, tiada laporan lanjut mengenai penahanannya atau identitinya.

“Semasa proses penahanan itu, jabatan berkaitan datang dan mengambil lebah itu.

“Pada masa ini, saya tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai lebah itu. Kemungkinan mereka melepaskan lebah itu, mungkin mereka melakukan sesuatu yang lain, saya tidak boleh membuat sebarang tekaan,” kata jurucakap itu.

Dalam laporan lain, Kementerian Perdagangan Turkiye dilapor turut merampas lebih 104 kilogram madu berharga yang disembunyikan di dalam tangki minyak sebuah kenderaan.

Untuk rekod, banyak tangkapan di Sempadan Turki-Georgia Sarp sudah dilakukan atas kes penyeludupan melibatkan bahan nuklear, batu permata yang jarang ditemui serta 239 utas jam tangan sejak 2015.

Sumber: Daily Star

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana