Terlalu gilakan perhatian tanda-tanda seseorang suami itu menghidap narsistik? Adakah anda faham apa yang dimaksudkan dengan narsistik?
Menurut Pakar Psikologi Organisasi, Dr Alizi Alias, individu yang menghidapi Narsistic Personality Disorder (NPD) mengalami gangguan atau kecelaruan mental. Malah, individu ini juga cenderung untuk mempunyai tahap ego yang tinggi dalam diri.
Tambahan pula, mereka juga memiliki sikap empati yang kurang dalam diri dek mahukan pujian atau pujaan yang melampau. Individu yang didiagnosis NPD dikatakan tidak akan tahu bagaimana hendak menjaga hati orang lain.
Oleh itu, jika berhubung atau berurusan dengan orang seperti mereka, maka anda perlu tahu cara-cara untuk mengawalnya. Tetapi sebelum itu, anda perlu didedahkan dengan tanda-tanda orang yang mengalami atau disahkan menghidap NPD.
Hal ini sebagai tindakan awal untuk bersedia ataupun berhati-hati daripada menjadi mangsa kepada individu tersebut.
Tanda-tanda individu menghidap NPD
Dalam satu wawancara bersama Siakap Keli dalam rancangan bual bicara Isu 2PM secara langsung baru-baru ini, Dr Alizi menyebut terdapat enam tanda yang dapat dikesan daripada seseorang yang didiagnosis NPD.
Yang pertama ialah individu tersebut akan mementingkan diri sendiri. Malah, dia akan merasa dirinya unik atau jauh lebih baik jika dibandingkan dengan orang lain. Layanan kepadanya juga perlu diberikan lebih dan tidak boleh disamakan dengan orang lain.
Yang kedua, mereka hidup dalam fantasi. Individu ini cenderung untuk mewujudkan dunia ‘ciptaannya’ sendiri dan menginginkan apa yang diimpikannya menjadi kenyataan.
Seterusnya, pujian secara berterusan. Dia hanya mahukan pujian atau pujaan yang diberikan secara berterusan dan perkara tersebut bersifat ‘sehala’. Malah jika berhubungan dengan mereka, tidak hairanlah semua aura positif kita akan ‘disedut’ ke dalam dirinya (tanpa dibalas semula).
Yang keempat adaah sentiasa rasa berhak. Dia akan berasa dirinya berhak ke atas semua perkara. Misalnya, pujian, tidak boleh ditegur ataupun menerima kritikan dan sebagainya. Malah, mereka juga akan bersikap ‘demand yang tinggi’ dalam semua perkara yang dilakukan.

Selain itu, individu ini akan mengeksploitasi orang lain tanpa rasa malu. Dia tidak akan menerima pandangan atau pendapat orang lain. Sebaliknya, orang lain yang perlu faham apa yang dia inginkan atau apa yang dia katakan.
Akhir sekali, individu yang menghidap NPD selalu merendah-rendahkan atau menakutkan orang lain. Dengan bersikap sedemikian, dia akan puas kerana mungkin dirinya berasa tercabar jika ada yang lebih baik atau lebih popular daripadanya.
Jadi dengan merendah-rendahkan orang lain akan menutup kembali rasa ‘kelemahan’ dalam dirinya dan kembali mengangkat ego yang sedia menggunung dalam diri.
Jenis NPD yang cenderung untuk dihidapi
Terdapat lima jenis NPD yang dikongsikan oleh Dr Alizi. Yang pertama ialah Narsisis Tampak yang lebih merujuk kepada individu extrovert, contohnya sikap yang tidak mahu untuk bekerjasama dengan orang lain. Misalnya pada awalnya, dia akan dilihat seperti seorang yang mempunyai pendirian sendiri, confident atau tegas. Malah, segelintir orang akan cenderung untuk memilih golongan ini untuk menjadi ketua ataupun suami tanpa mengetahui perangai sebenar mereka.
Yang kedua pula, Narsisis Tidak Tampak. Invididu ini tergolong dalam golongan introvert. Mereka dilihat pendiam tetapi akan mengeluarkan kata melalui sindiran. Malah, kata-kata yang dikeluarkan mampu menghiris hati si pendengar.
Selain itu yang ketiga ialah Narsisis Commoner iaitu golongan ini akan kelihatan baik atau dalam bahasa yang mudah, hipokrit. Hal ini kerana individu dalam golongan ini akan nampak seperti baik tapi sebenarnya tidak. Dia nampak seperti ingin membantu atau menghulurkan bantuan tetapi semuanya hanya terpaksa. Perkara ini didorong kerana mereka hanya inginkan pujian dan mampu mendominasi orang lain.

Seterusnya, Narsisis Antagonis ialah individu yang suka akan persaingan. Tetapi, dalam pertandingan tersebut sistem yang digunakan hanya kalah atau menang. Tidak wujud win-win situation dalam diri individu dalam golongan ini.
Jenis NPD yang terakhir ialah Narsisis Jahat. Individu yang menghidapi jenis NPD ini akan mempunyai sikap yang suka melihat orang lain dalam kesusahan atau kesulitan, diibaratkan semakin susah seseorang itu, semakin akan membuatnya gembira.
Justeru, anda perlu berhati-hati dalam bergaul dengan individu yang menghidapi NPD. Bukan mahu mengelakkan anda untuk berkawan atau menjalinkan hubungan dengan orang sedemikian, tetapi perkara yang tidak baik harus anda elakkan daripada terus menjerut diri dalam keadaan yang anda sendiri tidak mampu untuk hadapi.
Adakah NPD ini disebabkan oleh faktor genetik?
Menurut Dr Alizi Alias, faktor genetik juga boleh mengundang kepada NPD tetapi tidak semestinya terbentuk secara utuh dalam diri. Hal ini kerana ketika kecil, personaliti seseorang masih mampu untuk diubah atau dikawal, namun ia akan mula terbentuk pada usia yang lebih dewasa.
Selain itu, peranan atau tanggungjawab ibu dan bapa juga tidak terlepas dalam membentuk seseorang menjadi NPD. Oleh itu, ibu bapa perlu belajar untuk memuji perbuatan dan bukan berdasarkan orang. Misalnya, memberi pujian kepada anak kerana mengemas katil dan bukannya memberi pujian kerana dia anak bongsu.
Begitu juga jika ingin menghukum anak, ibu bapa perlu menghukum berdasarkan perbuatan bukan berdasarkan orang. Contohnya, anak kedua mencuri, tetapi anak sulung yang pula yang disalahkan kerana dia tidak bertanggungjawab dalam menjaga adiknya.
Seterusnya, melalui individu itu sendiri, kurangkan mengikuti ceramah atau motivasi yang memuji diri secara berlebihan. Hal ini kerana aktiviti seperti ini akan meningkatkan lagi sifat ‘keakuan’ dalam diri dan mampu mengundang ke arah NPD dengan lebih serius.
NPD lebih kepada lelaki?
Menurut kajian Metanalisis, lelaki dilihat mempunyai kes yang lebih tinggi daripada wanita. Hal ini kerana sikap autoritis dan ekspolitasi lebih terdapat dalam kelompok lelaki berbanding wanita.

Tetapi, perlu diingat bahawa hanya pakar sahaja yang boleh diagnosis seseorang individu tersebut. Malah, menurut Dr. Alizi Alias pakar juga susah untuk diagnosis pesakit NPD. Justeru, kita lihat akan banyak appointment yang dibuat dengan pesakit untuk mendapatkan keputusan yang tepat.
Jadi, adakah patut untuk anda berkahwin dengan penghidap NPD?
Pada awalnya memang tidak dapat dinafikan kita akan melihat sikap atau prestasi mereka dalam keadaan baik, mempunyai ciri yang sesuai untuk seseorang yang bergelar ketua keluarga dan dia akan nampak sempurna di mata kita.
Tetapi langit tidak selalunya cerah, apabila sudah menjalani alam perkahwinan kita akan dapat melihat perangai sebenarnya. Malah, mereka juga mampu menguasai dan mendominasikan kita.
Sehubungan itu adalah lebih baik elakkan daripada berkahwin dengan individu NPD demi kesejahteraan mental dan fizikal kita.
9 perkara yang anda patut tahu dalam menangani individu NPD
Namun, jika anda secara tidak langsung terlibat dalam kehidupan atau berkahwin dengan seseorang yang menghidap NPD, ada sembilan perkara yang patut anda dalami dalam berhadapan atau berhubung dengan individu tersebut.
Yang pertama, anda perlu terdedah kepada apa itu narsistik. Hal ini kerana jika anda sudah faham makna narsistik, mungkin anda akan tahu kenapa dia bertindak sedemikian.
Seterusnya, letakkan sempadan antara kedua-duanya. Misalnya, anda perlu berkomunikasi dengan jelas iaitu tidak bercakap secara berlapik atau ada maksud yang tersirat.
Di samping itu, belajar taktik-taktik bagaimana mahu memanipulasi golongan NPD. Dengan teknik sedemikian, anda tidak akan mudah termanipulasi dengan mereka.
Tambahan pula, hubungan antara keluarga pula perlu dijaga di luar perkahwinan misalnya dengan ibu, ayah atau adik-beradik pasangan. Hal ini kerana mereka lebih mengenali sikap anaknya itu. Justeru, anda akan mendapat sokongan atau moral support daripada orang lain. Tindakan ini penting supaya anda sentiasa kuat dan tabah dalam menjalani hari-hari seterusnya.
Yang kelima ialah jangan lembut dengan penghinaan yang dia lemparkan. Anda perlu pertahankan dan lindungi diri anda sendiri. Jangan biarkan si dia berasa berjaya kerana sudah menguasai anda.
Selain itu, anda perlulah mengurangkan atau tidak sama sekali untuk memberi ‘makanan’ kepadanya. ‘Makanan’ di sini dimaksudkan dengan kata-kata pujian atau pujaan kepadanya. Memang penyakit mental susah untuk diubah tetapi anda perlu mengurangkan tindakan tersebut supaya ego dalam dirinya dapat dikawal.
Bukan itu sahaja, anda tidak perlu untuk menyalahkan diri anda. Hal ini kerana perkara tersebut berlaku bukan atas keinginan anda. Sepatutnya, bertindaklah menjadi seseorang yang lebih baik.
Seterusnya, anda perlu memenuhi keperluan dan keinginan diri anda. Anda juga perlukan masa untuk diri sendiri, “me time” atau self care. Jangan abaikan diri anda demi menjaga kepentingan dan kebajikan orang lain. Tidak dilupakan juga kesihatan mental anda, kalau tidak mampu untuk mengawalnya, anda perlu untuk berjumpa dengan kaunseling untuk rawatan selanjutnya.
Akhir sekali, anda perlu berbincang secara baik. Mungkin dengan demikian, masalah yang dihadapi akan dapat diselesaikan. Tetapi, kalau anda tidak mampu untuk bertahan, mungkin penceraian merupakan jalan terbaik untuk kedua-duanya.
Kesan kepada orang yang menghidapi NPD
Kita sedia maklum bahawa individu yang menghidapi NPD akan mempunyai pelbagai masalah yang memberi kesan secara langsung atau tidak terhadap dirinya.
Misalnya kesan kepada individu sama ada di tempat kerja, tempat belajar atau alam perkahwinan. Alam perkahwinan khususnya, individu tersebut akan mempunyai perhubungan yang tidak baik dalam rumah tangga. Malah, identiti kendiri juga akan mengelirukan menyebabkan anda kehilangan diri sendiri dalam menjaga orang lain.

Langkah yang boleh dilakukan untuk mengurangkan kesan NPD
Di peringkat makro, anda perlu berjumpa dua orang pakar utama dalam menangani masalah ini iaitu pakar psikiatri dan pakar psikologi.
Malah di peringkat mikro pula, anda perlu kurangkan ceramah atau aktiviti motivasi yang mengagungkan diri sendiri atau meningkatkan sikap keakuan.
Tetapi, gantikannya dengan aktiviti berkaitan dengan mental atau aktiviti kerohanian. Hal ini kerana pada masa kini, ramai yang mengalami masalah berkaitan dengan mental. Justeru, tindakan kita untuk mengikuti aktiviti sedemikian adalah wajar.
Untuk menonton bual bicara penuh, boleh ikuti rakaman siaran langsung di bawah:
Sumber: Siakap Keli TV