Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) memaklumkan bahawa terdapat 11 sampel buah nanas kecil atau baby nanas telah dikesan mengandungi bahan pemanis zat, siklamat.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Facebook hari ini, KKM berkata ia juga merujuk kepada isu baby nanas yang menjadi tular di media sosial sekitar tahun 2017 dan 2019.
Menurut KKM, siklamat merupakan sejenis pemanis tanpa zat yang memberikan rasa manis 30-50 kali lebih daripada gula biasa. Berdasarkan Codex General Standard for Food Additives (GSFA), penggunaan siklamat adalah dibenarkan dalam makanan tertentu seperti jem, jeli, dan lain-lain.
Namun begitu, penggunaan siklamat adalah tidak dibenarkan terhadap buah-buahan segar, termasuklah yang telah dikupas atau sedia untuk dimakan. Ini juga disokong dalam Peraturan-Peraturan Makanan 1985.
“KKM melalui BKKM telah meningkatkan pemantauan terhadap buah nanas di pasaran tempatan semenjak tahun 2017 dan bermula 2021 dengan mengenakan pemeriksaan Tahan, Uji dan Lepas (TUL) ke atas baby nanas (kulit berkupas) yang diimport masuk ke dalam negara.
“Sehingga kini, sebanyak 115 sampel buah nanas telah diambil bagi tujuan analisa pelbagai parameter. 11 sampel didapati mengandungi siklamat dan telah disabitkan kesalahan dengan jumlah denda RM 8,500,” katanya.
Jelas KKM lagi, pihaknya akan meneruskan pemantauan ke atas buah nanas di semua pintu masuk negara dan pasaran tempatan bagi memastikan ianya mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya.
“BKKM juga turut bekerjasama dengan Lembaga Perindustrian Nenas Malaysia bagi perkongsian data pemantauan nanas yang dijual di pasaran tempatan,” jelasnya lagi.
Bagi sesiapa yang disabitkan kesalahan tersebut, boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Oleh itu, para peniaga diingatkan agar tidak mengadukkan atau menjual buah baby nanas yang mengandungi siklamat.
Sekiranya pengguna mempunyai kemusykilan berhubung isu buah “baby nanas” tersebut, pengguna boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau Facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan 3 (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq.
BACA: KKM Kesan Empat Kes Jangkitan Tempatan Varian Omicron XBB – Khairy
Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) via Facebook