Ukraine dilapor merayu kepada Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) agar membatalkan penyertaan Iran dalam kejohanan Piala Dunia Qatar kali ini.
Menurut Daily Mail, hal tersebut adalah kerana Ukraine mendakwa Iran membekalkan senjata kepada Rusia sehingga menyebabkan konflik pencerobohan masih terus kekal berlaku hingga kini.
Malah dalam masa sama, Iran juga dituduh melanggar Artikel 3 dan 4 dalam FIFA iaitu mengenai hak asasi manusia dan diskriminasi.
Difahamkan, Ukraine bukanlah satu-satunya negara yang tidak ‘senang’ dengan penyertaan Iran di Piala Dunia Qatar, menurut Sportmail.

Bagaimanapun, ada sumber yang mengatakan bahawa FIFA tidak mungkin membuang Iran daripada kejohanan tersebut, ekoran tarikh sepak mulanya sudah dekat iaitu 20 November ini.
Tambahan pula, sebarang keputusan untuk membatalkan penyertaan negara teluk itu pada saat-saat akhir akan meninggalkan kesan yang lain.
Sementara itu, jawatankuasa pasukan bola sepak kebangsaan Ukraine mengeluarkan kenyataan tentang kedudukan mereka pada petang semalam.
“Kami mengambil kira maklumat media mengenai manifestasi sistematik tentang pelanggaran hak asasi manusia di Iran yang boleh melanggar prinsip dan norma piagam FIFA.
“Kami juga mengambil kira resolusi majlis keselamatan PBB 22.31 mengenai sekatan ke atas Iran dan dakwaan penglibatan Iran dalam pencerobohan Rusia terhadap Ukraine.
“Kami merayu kepada FIFA supaya mempertimbangkan cadangan untuk mengecualikan Iran daripada Piala Dunia FIFA 2022,” tambahnya.
Sumber: Daily Mail