Siakap Keli
Kredit: Bernama

Waspada, Ribut Petir & Hujan Lebat Dijangka Landa 10 Negeri Petang Ini

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebentar tadi telah mengeluarkan amaran ribut petir di beberapa kawasan Semenanjung dan Sarawak yang bakal melanda sehingga 6 petang ini.

Amaran kali ini menunjukkan hampir keseluruhan negeri-negeri di kawasan pantai timur Semenanjung Malaysia bakal menghadapi ribut petir dan hujan lebat.

Bermula dengan Kelantan, terdapat beberapa daerah yang akan mengalami ribut petir pada petang ini iaitu Jeli, Tanah Merah, Machang, Pasir Puteh, Kuala Krai dan Gua Musang.

Tidak cuma itu, seluruh Terengganu diramalkan bakal menghadapi cuaca yang serupa.

Selain itu, beberapa daerah di Pahang turut bakal menghadapi fenomena yang sama seperti Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Jerantut, Bentong, Temerloh, Maran, Kuantan, Bera, Pekan dan Rompin.

Ribut petir juga diramalkan bakal berlaku di beberapa lokasi di utara Malaysia. Antara lokasi yang bakal dilanda ribut petir di Perak adalah daerah Kerian, Larut, Matang. Selama dan Hulu Perak.

Seterusnya, Kedah turut mencatatkan beberapa lokasi seperti Kubang Pasu, Padang Terap, Sik, Baling, Kulim dan Bandar Baharu. Perlis juga tidak terkecuali daripada menerima amaran ini.

Bagi bahagian tengah dan selatan Semenanjung Malaysia pula, antara kawasan yang terlibat adalah Selangor, yang hanya melibatkan sebuah daerah sahaja iaitu Hulu Selangor.

Sementara itu, hanya sebuah daerah di Negeri Sembilan iaitu Jempol turut menghadapi cuaca yang sama.

Di Johor pula ia hanya melibatkan tiga buah daerah iaitu Segamat, Kluang dan Mersing.

Pada masa yang sama, hanya beberapa lokasi di Sarawak dilaporkan bakal menghadapi cuaca sedemikian iaitu Kuching, Serian dan Samarahan.

Berikutan ramalan cuaca ini, penduduk yang tinggal di kawasan-kawasan dinyatakan dalam ramalan tersebut wajarlah berhati-hati, terutamanya ketika musim tengkujuh ini.

Sumber: MET Malaysia

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma