Seorang lelaki berusia 29 tahun yang berasal dari Dombivli, India berjaya menempatkan namanya dalam Buku Rekod Dunia Guinness buat julung kalinya baru-baru ini.
Hal itu disebabkan kejayaan rekod peribadi yang dicatatkannya iaitu berlari maraton sejauh 42.16 kilometer (km) sehari tanpa henti selama 61 hari berturut-turut.
Lelaki berkenaan, Vishak Krishnaswamy yang meminati larian jarak jauh membuat permohonan untuk mendapat ‘tempat’ dalam buku Rekod Dunia tersebut.
Imbas kembali, segalanya bermula pada 1 September lepas dengan larian dilakukan melintasi padang Perbadanan Perbandaran Kalyan-Dombivli (KDMC) yang ditetapkan bermula seawal 4 pagi.
Malah sebagai bukti lariannya, Vishak menggunakan pelbagai alat peranti elektronik untuk merekodkan data tarikh, jarak serta tempoh masanya – selaras dengan syarat ditetapkan Buku Rekod Dunia Guinness.

Menurutnya, dia menghadapi pelbagai cabaran keadaan cuaca berbeza sepanjang tempoh larian selama dua bulan tersebut.
Walaupun keadaan cuaca tidak menentu seperti hujan lebat dan sebagainya, namun dia tetap meneruskan larian pada hari kejadian.
Larian harian lebih 42 km itu akhirnya berakhir selepas 61 hari dan langkah terakhirnya di garisan penamat disambut oleh Pengarah Pesuruhjaya KDMC, Dr Bhausaheb Dangade.
Tidak ketinggalan juga, larian akhirnya turut disambut oleh pasukan bomba yang memberikannya tabik hormat diselangi siren (simbol penghormatan) yang dibunyikan selama dua minit.
Menurutnya, dia turut bercadang untuk berlari pada masa tambahan sehari lagi untuk mencipta rekod larian tanpa henti selama 62 hari.
Difahamkan, kejayaan dicapainya itu berjaya memintas rekod pelari terdahulu yang dipegang Pune Ashish Kasodekar iaitu dengan larian selama 60 hari berturut-turut.
Sumber: Times of India