Bekas Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan dilapor cedera selepas terkena tembakan pada kakinya dalam satu kejadian semasa perhimpunan ‘kebebasannya’ di Wazirabad hari ini.
Difahamkan, segalanya bermula apabila gerakan Pakistan Tehreek-e-Insaf’s (PTI) mengadakan perhimpunan untuk menuntut pilihan raya diadakan lebih awal.
Bagaimanapun, seorang lelaki bersenjata tidak dikenali melepaskan tembakan ke arah kumpulan Imran Khan dan ia terkena tepat pada kaki bekas PM itu – yang mengetuai perhimpunan tersebut.
Menurut laporan, hasil tembakan suspek, kira-kira lapan orang lelaki di lokasi kejadian dilaporkan tercedera termasuklah Senator Faisal Javed Khan yang turut sama hadir di situ.
Susulan itu, Imran Khan bersama mangsa-mangsa tercedera dikejarkan ke hospital.

Menurut Daily Mail, serangan itu dipercayai berlaku selepas Imran Khan memulakan perarakannya dari Lahore, Punjab bersama-sama dengan ribuan penyokongnya.
Sebelum ini, Imran Khan tersingkir dalam Parlimen kabinet Pakistan kerana mendapat undi tidak percaya pada April lalu.
Malah, Imran Khan mendakwa bahawa penyingkirannya itu adalah konspirasi yang direka oleh penggantinya, Shahbaz Sharif iaitu Perdana Menteri Pakistan yang terkini.
Sumber: Daily Mail