Gara-Gara Putus Cinta, Remaja Mengamuk Ancam Penduduk Setempat Guna Busur Panah
Seorang remaja berusia 17 tahun yang merupakan penduduk Daerah Manggala telah ditahan polis selepas tindakannya yang mengancam penduduk menggunakan anak panah tular di media sosial Indonesia, lapor Kompas.com.
Aksi serangan remaja yang berbaju kuning itu berjaya dirakam CCTV di sebuah kedai menjual kad tambah nilai di daerah tersebut.
Remaja itu jelas telah melepaskan busur panah ke arah penduduk, namun tindakannya itu berjaya dihalang oleh penduduk sekitar kawasan tersebut.
Rakaman aksi ancaman menggunakan anak panah oleh remaja 17 tahun itu juga turut menjadi bualan warga di media sosial.
Ketua Polis Bahagian Humas Polrestabes Makassar, AKP Lando KS telah mengesahkan penahanan remaja tersebut pada hari ini. Kejadian serangan tersebut dikatakan berlaku pada malam Ahad lalu.
“Kami telah berjaya menahan seorang remaja bersama bukti seperti anak panah dan lastik pada semalam. Hasil daripada soal siasat, remaja berkenaan telah mengaku perbuatan ancaman tersebut,” kata AKP Lando.
Beliau juga mendedahkan, ancaman yang dilakukan oleh remaja berkenaan kerana dia tidak mampu mengawal emosinya setelah teman wanitanya memutuskan hubungan cinta mereka.
“Remaja itu mahu mencari tahu siapa yang telah merampas teman wanitanya. Remaja itu juga mahu membalas dendam terhadap penduduk sekitar lokasi kejadian kerana sebelum ini pernah terjadi perselisihan faham dengan bekas teman wanitanya,” katanya lagi.
Sumber: Kompas.com