Siakap Keli
ebit lew hadiah viva
Gambar: FB Ebit Lew

Ibu Tunggal ‘Food Rider’ Tular Bawa Anak OKU Dapat Hadiah Viva

Ibu Tunggal ‘Food Rider’ Tular Bawa Anak OKU Dapat Hadiah Viva

Setiap orang mempunyai kehidupan yang berbeza dan setiap ujian yang dihadapi juga berlainan, namun itu tidak membuatkan kita ‘kurang’ daripada manusia yang lain.

Baru-baru ini, tular di media sosial tentang seorang ibu tunggal yang menyara hidup sebagai penghantar makanan bekerja sambil mengendong anak sehingga mendapat perhatian daripada warganet.

Justeru terkenal dengan sifat pemurah, pendakwah dermawan Ebit Lew tekad menghadiahkan sebuah kereta buat ibu tunggal berkenaan, Azimah Rahim yang mencari rezeki sambil mengendong anak yang merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU) buta kekal.

Gambar: FB Ebit Lew

Sebuah Perodua Viva dihadiahkan Ebit kerana beliau sayu melihat perjuangan ibu tunggal tersebut yang bekerja sebagai penghantar makanan menggunakan motosikal.

Dalam masa sama terpaksa membawa anaknya ke sana-sini sepanjang bekerja kerana dipercayai tidak mempunyai pengasuh untuk menjaganya.

“Menangis akak (ini) terharu dalam kereta (terima) hadiah untuknya sambil peluk anaknya dan kata, ‘Ya Allah anak, rezeki kita. Tak sangka dapat rezeki begini’.

“Sebak sayu hati bila ziarah akak ni tadi. Kuatnya seorang ibu demi membesarkan anak dengan kerja menghantar makanan dengan (sambil) mengendong anaknya,” katanya dalam perkongsian di Facebook hari ini.

Difahamkan, selain menghantar makanan, Azimah juga gigih mencari rezeki melalui kemahiran memasaknya dengan mengambil tempahan membuat mi kari dan laksa.

Pernah dibantu rumah sewa tahun lalu

Gambar: FB Ebit Lew
Difahamkan, pada awal tahun lalu, Ebit Lew pernah menghadiahkan Azimah sebuah rumah sewa kerana dia tidak mempunyai rumah pada waktu itu, dan sewanya telah ditanggung oleh Ebit sehingga kini.Dalam pada itu, pendakwah dermawan tersebut juga turut mencarikan pengasuh untuk anaknya, namun usaha itu tidak kesampaian kerana anak itu memerlukan perhatian penuh dari ibunya.

“11 bulan lalu kami carikan rumah dan kami bayarkan sewa bulanan rumah akak ini dan anak kecilnya sehingga kini.

“Kami cuba bantu nak carikan pengasuh tetapi anak ini aktif dan tidak mahu orang lain. Beberapa pengasuh tak dapat menjaganya kerana dia perlu perhatian 24 jam oleh ibunya,” katanya selepas melawat Azimah.

Ebit tidak dapat menahan air mata selepas berjumpa dengan ibu tunggal itu oleh kerana ujian yang dihadapinya amat berat.

“Menangis bila jumpa akak ni. Katanya dari arwah maknya ingin jumpa saya. Setiap hari doakan saya.

“Ya Allah semoga Allah beri kekuatan buat kakak ini bersama anak kecilnya,” kata Ebit mengakhiri perkongsian itu.

Sumber: Ebit Lew via Facebook

Nurhanis

Mungkin tidak lagi menjadi penulis, tetapi jejakku masih di sini

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.