Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa perjuangannya dalam melumpuhkan gejala rasuah selama ini sudah tercatat dalam sejarah kariernya sepanjang berkecimpung dalam arena politik.
Muhyiddin dalam satu kenyataan berkata, sejarah perjuangannya turut ‘diceritakan’ menerusi detik-detik terakhir karier beliau semasa menyandang jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri suatu ketika dahulu.
“Perjuangan saya melawan rasuah ini telah dibuktikan melalui sejarah panjang saya.
“Saya dibuang daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri kerana saya berjuang melawan golongan yang menyalahgunakan kuasa demi poket sendiri,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.
Sehubungan itu, visi besarnya dalam perjuangan sedemikian adalah untuk melihat negara ini ditadbir oleh barisan kerajaan yang bebas daripada unsur-unsur negatif lagi merosakkan.
“Menjadi impian saya melihat Malaysia dikemudi oleh barisan kepimpinan yang bebas daripada jenayah rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.
“Hal ini diterjemahkan dengan ‘Aku Janji Integriti Calon’ Perikatan Nasional.
“InsyaAllah kami di Perikatan Nasional komited untuk menawarkan kerajaan yang prihatin, bersih dan stabil,” katanya lagi dalam kenyataan itu.
Dalam pada itu, Muhyiddin turut memuat naik lampiran teks ikrar Aku Janji Integriti Calon (PN) Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bersama kenyataan tersebut.
“Bismillahirrahmanirrahim, Wallahi, Wabillahi Watallahi, bagi memastikan pentadbiran kerajaan dijalankan secara bersih, adil, bebas rasuah, maka kami sebagai calon PRU15 parti PN sekiranya terpilih sebagai Ahli Dewan Rakyat/ Ahli Dewan Undangan Negeri dengan sesungguhnya dan suci hati beraku janji dan berikrar bahawa kami akan mematuhi sepenuhnya undang-undang seperti mana yang diperuntukkan dalam Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta SRPM 2009) dan undang-undang yang berkaitan semasa menjalankan tugas dan tanggungjawab kami sebagai Ahli Dewan Rakyat/ Ahli Dewan Undangan Negeri.
“Kami berikrar akan menolak sebarang bentuk jenayah rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa, serta memberikan sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dalam mencegah sebarang bentuk jenayah rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.
“Kami beraku janji tidak akan melibatkan diri dalam sebarang bentuk jenayah rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa, sama ada secara langsung atau tidak langsung dan sentiasa memelihara integriti peribadi kami dan parti Perikatan Nasional.
“Kami akan melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dengan segera, sebarang bentuk jenayah rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa yang dalam pengetahuan kami atau yang melibatkan kakitangan di bawah seliaan kami,” memetik ikrar tersebut.

- Kredit: Muhyiddin Yassin | Facebook
Sumber: Muhyiddin Yassin | Facebook