Siakap Keli
wanita koma selamat lahirkan anak
Gambar: Google

Wanita Koma 7 Bulan Selamat Lahirkan Bayi Perempuan

Seorang wanita di India yang koma selama tujuh bulan akibat kemalangan ngeri kini bergelar ibu selepas selamat melahirkan seorang bayi perempuan baru-baru ini.

Imbas kembali, wanita tersebut dikenali sebagai Shafiya, 23, berasal dari Uttar Pradesh cedera parah apabila dia terjatuh dari motosikal tanpa memakai topi keledar dalam kejadian pada Mac lalu.

Difahamkan, usia kandungan Shafiya pada ketika itu hanya mencecah 40 hari sahaja.

Menurut The Independent, burqa yang dipakai oleh Shafiya tersepit di tayar belakang motosikal berkenaan yang dipandu suaminya sehingga menyebabkan mereka terbabas.

Difahamkan, kecederaan parah di kepala menyebabkan Shafiya terpaksa menjalani lima pembedahan saraf berbeza di Hospital Institut Sains Perubatan All India (AIIMS) di Bulandshahr.

Malah, dia turut menghabiskan masa menggunakan alat bantuan pernafasannya, selain sebahagian tengkoraknya terpaksa dikeluarkan bagi mengurangkan tekanan pada otaknya.

koma 7 bulan wanita selamat melahirkan
Gambar: Sinar Harian

Sebelum ini, pihak doktor pernah membuat pertimbangan untuk menamatkan kehamilannya ekoran keadaannya yang teruk.

Bagaimanapun, selepas melakukan imbasan ultrasound dan menunjukkan kandungannya berada dalam keadaan normal dan sihat, pihak doktor menyarankan kepada keluarganya untuk mengekalkan kehamilan tersebut.

Walaupun keadaan Shafiya hanya dikatakan mempunyai peluang tipis sekitar 10 hingga 15 peratus sahaja untuk hidup, dia akhirnya dapat melahirkan bayi perempuan dengan sihat pada 22 Oktober baru-baru ini.

Malah, kini dia mampu menggerakkan kepala dan kakinya tanpa menggunakan ventilator.

Perubahan tersebut seolah-olah meletakkan harapan suatu hari nanti dia dapat bertemu dengan anaknya.

Sementara itu pakar Bedah, Dr Deepak Gupta mengatakan kes tersebut sangat luar biasa.

“Saya tidak pernah jumpa sebarang kes sedemikian sepanjang kerjaya selama 22 tahun di AIIMS.

“Dia kini berada dalam keadaan stabil dan tidak mendapat sokongan ventilator.

“Terdapat tentangan untuk memakai topi keledar semasa menunggang motosikal, terutamanya mereka yang mengamalkan pemakaian serban di kepala.

“Wanita atau sesiapa sahaja yang membonceng kenderaan dua roda harus memakai topi keledar,” tambahnya.

 

Sumber: The Indepedent

 

Florence Nuar