Lelaki Dilapor Temui 200 Ekor Anak Labah-Labah Bersarang Dalam But Kereta
AUSTRALIA – Seorang lelaki telah dikejutkan dengan penemuan sarang labah-labah gergasi di dalam but keretanya.
Menurut laporan Ladbible, lelaki yang berasal dari Melbourne, Australia itu telah menemui sekitar 200 anak labah-labah.
Kewujudan sarang labah-labah itu disedari oleh lelaki berkenaan sewaktu sedang membersihkan keretanya. Ia dianggap sebagai pemandangan yang sangat mengerikan terutama apabila dia telah lama tidak membuka but kereta tersebut.
“Saya sedang membersihkan kereta untuk menumpangkan rakan-rakan saya namun saya dikejutkan dengan labah-labah gergasi, kantung telurnya berada di sebelah kiri but kereta,” katanya.
Dia juga kemudiannya mula memeriksa di bahagian visor untuk memastikan tiada labah-labah lain yang akan dijumpainya.

Lelaki itu turut menyatakan bahawa dia tidak boleh membayangkan ratusan labah-labah merangkak di sekeliling keretanya, dan lebih sanggup membakar kenderaannya jika hal itu terjadi.
Spesies labah-labah yang dikenali sebagai araknid betina itu mampu menghasilkan kantung telur putih yang membolehkannya membawa sehingga 200 anak-anak.
Tambahan pula, ia kebiasaannya tidak agresif namun araknid betina itu mampu menyebabkan gigitan yang menyakitkan pada tubuh manusia sekiranya kantung telurnya diganggu.
Sumber: Ladbible