Siakap Keli
Pesawat Bawa 43 Penumpang Dilapor Terhempas
Gambar: Twitter Rachael Akidi

Pesawat Bawa 43 Penumpang Dilapor Terhempas Dalam Tasik Di Tanzania

Pesawat Bawa 43 Penumpang Dilapor Terhempas Dalam Tasik Di Tanzania

Sebuah pesawat yang membawa 43 orang penumpang dilaporkan terjunam ke dalam Tasik Victoria di Tanzania berikutan cuaca buruk pada awal pagi hari ini, lapor AFP.

Difahamkan, kapal terbang Precision Air itu dijadualkan mendarat di lapangan terbang di bandar barat laut Bukoba.

Pesuruhjaya wilayah, Albert Chalamila menjelaskan bahawa kesemua yang terlibat adalah termasuk 39 penumpang, dua juruterbang, dan dua kru kabin.

Tambahnya, pesawat itu dilapor dalam perjalanan dari ibu kota, Dar es Salaam menghala ke bandar di tepi tasik berkenaan di wilayah Kagera.

“Sehingga kini, kami berjaya menyelamatkan 26 penumpang dan segera dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut. Operasi menyelamat kini masih diteruskan,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Wilayah, William Mwampaghale berkata, usaha kini sedang giat dijalankan bagi menyelamatkan mangsa yang berada dalam pesawat berkenaan.

“Nahas itu yang membabitkan sebuah pesawat Precision Air terhempas ke dalam air sekitar 100 meter dari lapangan tersebut,” katanya.

Gambar: Twitter Rachael Akidi

Tambahnya lagi, syarikat penerbangan itu juga telah mengeluarkan kenyataan dan mengesahkan nahas yang berlaku.

“Pasukan penyelamat telah dikejarkan ke kawasan tersebut dan maklumat lanjut akan dikemaskini,” maklum kenyataan tersebut.

Dalam pada itu, Presiden Tanzania, Samia Suluhu Hassan menzahirkan takziah kepada mangsa yang terlibat dalam kemalangan tersebut di Twitter.

“Mari kita berdoa kepada Tuhan agar operasi menyelamat dipermudahkan,” katanya di Twitter.

Dalam rakaman yang disiarkan oleh media tempatan mendedahkan sebahagian besar pesawat itu tenggelam di dalam tasik tersebut. Usaha membawa keluar pesawat itu juga sedang dilakukan dengan menggunakan kren.

Untuk makluman, Precision Air merupakan sebuah syarikat penerbangan persendirian terbesar di Tanzania yang sebahagiannya dimiliki oleh Kenya Airways.

Ia mula diasaskan pada tahun 1993 dan beroperasi sebagai penerbangan domestik dan serantau serta charter swasta bagi destinasi pelancongan popular.

Sumber: AFP

Iqbal Yasir

A wise man once said "Siuuuuu"

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.