Siakap Keli
Gambar: Astro Arena

Tundukkan Jepun 4-2, Pasukan Hoki Malaysia Mara Ke Final Piala Sultan Azlan Shah

Pasukan Hoki Malaysia sah akan berentap di final Piala Sultan Azlan Shah 2022 selepas menewaskan Jepun 4-2 dalam perlawanan yang berlangsung sebentar tadi.

Menerusi perlawanan tersebut, dua gol telah disumbangkan oleh Razie Rahim, diikuti dengan satu gol daripada Nik Aiman dan satu gol daripada Norsyafiq Sumantri.

Kelebihan pukulan sudut penalti berjaya disempurnakan oleh Razie Rahim pada minit ke-8 yang kemudiannya membuat satu lagi pukulan sudut penalti dalam tempoh seminit.

Aksi itu menyaksikan Razie Rahim memperolehi caps ke-300 bersama pasukannya selain jaringan yang dilakukan olehnya hari ini yang turut meletakkan beliau sebagai penjaring gol terbanyak kejohanan setakat ini.

Dalam pada itu, Jepun kemudiannya bangkit demi mendapatkan mata pertama yang akhirnya mengakibatkan kubu Malaysia bolos pada minit ke-23 menerusi pukulan sudut penalti yang dijaringkan oleh Kaito Tanaka.

Pada suku ketiga pula, Malaysia kembali menyerang dengan garang setelah berhasil mendapatkan gol ketiga hasil gerakan serangan pertama menerusi Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi.

Walau bagaimanapun, Jepun tidak mahu berputus asa dan cuba merapatkan jurang gol yang kemudiannya memberikan tekanan kepada Malaysia apabila Shota Yamada berjaya menjaringkan gol kedua pada minit ke-35.

Terkesan dengan tekanan yang diberikan oleh pihak lawan, Malaysia terus menukar rentak permainan yang akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-46 oleh Norsyafiq Sumantri sekaligus membuatkan Malaysia mengekalkan kemenangan mutlak buat skuad negara.

Kemenangan itu melayakkan pasukan negara ke final dan bakal bertemu dengan Korea Selatan pada Khamis ini.

Terdahulu, Malaysia berjaya membelasah Afrika Selatan dengan keputusan 7-2.

 

Sumber: Team Malaysia, Malaysian Hockey Confederation

Farah Nabilah

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.