Siakap Keli
Dua Maut
Gambar via Mpora

Dua Maut, Dua lagi Cedera Dalam Insiden Berbalas Tembakan Di Pattani

PATTANI, 8 Nov (Bernama) — Dua orang termasuk seorang ketua kampung maut manakala dua lagi anggota polis cedera dalam satu insiden berbalas tembakan di Pattani, selatan Thailand.

Jurucakap Pusat Arahan Operasi Keselamatan Dalam Negeri (ISOC) Bahagian Ke-4 Kol Kiattisak Neewong berkata kejadian bermula kira-kira 2 petang (waktu tempatan) pada Isnin.

Kejadian berlaku semasa pasukan keselamatan mengepung sebuah rumah dipercayai menjadi lokasi persembunyian seorang anggota militan di Nong Chik, Pattani dengan pasukan keselamatan turut mengarahkan anggota militan itu menyerah diri.

Namun, beliau berkata anggota militan itu melepaskan tembakan dan cuba meloloskan diri apabila pasukan keselamatan mengarahkan penduduk kampung berdekatan pindah ke tempat selamat.

“Ketua kampung yang sedang menasihatkan anggota militan itu serah diri terkena tembakan. Selain itu, dua lagi anggota polis turut cedera dalam insiden berbalas tembakan itu.

“Ketiga-tiga yang cedera digegaskan ke hospital.  Ketua kampung cedera parah akibat terkena tembakan di peha dan meninggal dunia di hospital,” katanya pada satu sidang media di sini hari ini.

Kiattisak berkata insiden berbalas tembakan yang bermula 6 petang (waktu tempatan) dan berakhir 30 minit kemudian.

“Apabila keadaan reda, kami menemui mayat anggota militan itu di dalam rumah,” katanya.

Siasatan mendapati lelaki itu diburu pihak berkuasa Thailand kerana disyaki terlibat dalam beberapa insiden letupan di selatan Thailand termasuk insiden letupan bom di stesen minyak di Pattani pada Ogos tahun ini.

“Lelaki itu adalah seorang anggota militan yang dikehendaki dan mempunyai sekurang-kurangnya tujuh waran tangkap,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Faiz Mustafa