Pengurus Barcelona, Xavi Hernandez melabelkan pertembungan antara kelabnya dengan gergasi Inggeris, Manchester United dalam saingan Liga Europa adalah sesuatu yang sukar.
Xavi yang juga bekas pemain tengah kelab gergasi Sepanyol itu mengakui, bertempur dengan pasukan legenda yang dipenuhi pemain berbisa seperti United bukanlah mudah.
“Ini adalah perlawanan paling sukar setakat ini. Tetapi kami akan menantikannya.
“Mereka adalah pasukan yang ‘lejen’ dan mempunyai pemain yang hebat, malah mengalami perubahan yang ketara selepas diambil alih oleh Ten Hag.
“Ini adalah pertembungan terburuk yang pernah kami perolehi. Sekali lagi nasib tidak menyebelahi kami,” tambahnya, memetik laporan Mirror.
Dalam pada itu, Xavi berkata mereka terpaksa bersedia kerana bakal bertembung dengan bekas seteru legenda paling digeruni Real Madrid, Cristiano Ronaldo.
“Dia seorang pemain hebat yang telah merekodkan satu era dalam bola sepak malah dia boleh buat perubahan,” katanya.

Imbas kembali, pertembungan The Blaugrana dan The Red Devils di Liga Europa pada Februari tahun depan ditentukan menerusi undian rasmi pada malam tadi.
Barcelona tersingkir ke Liga Europa akibat gagal melepasi peringkat kumpulan Liga Juara-Juara (UCL) selepas menamatkan saingan di belakang gergasi Jerman, Bayern Munich dan kelab Itali, Inter Milan.
Sementara itu, United hanya menduduki tempat kedua dalam peringkat kumpulan Liga Europa di bawah Real Sociedad walaupun menang 1-0 menentang pasukan itu Jumaat lalu.
Bagaimanapun, pertembungan kedua-duanya dalam satu perlawanan besar kelak menyebabkan Xavi risau meratapi nasib Barcelona untuk berdepan pasukan lawan kendalian Erik Ten Hag berkenaan.
Tersenyum, teringat balik zaman dengan United
Sementara itu, bekas pertahanan United, Jordi Cruyff mengatakan bahawa dia hanya tersenyum apabila mendapat tahu tentang keputusan perlawanan tersebut.
“Saya tersenyum (tentang keputusan). Perkara pertama yang terimbas kembali dalam fikiran saya ialah kenangan bersama Manchester United selama empat tahun,” katanya.

Menurut Cruyff, pertembungan antara dua pasukan itu akan menjadi perlawanan terpenting dalam minggu tersebut.
“Saya berfikir peminat terutamanya untuk yang neutral, ia akan memberikan keputusan yang menakjubkan.
“Saya juga berfikir bahawa peminat kedua-dua pasukan ini akan gembira dengan pertembungan tersebut.
“Tetapi jika difikirkan semula perlawanan ini adalah cabutan yang paling sukar setakat ini,” jelasnya kepada BT Sport.
Namun pada masa yang sama, Cruyff mengatakan bahawa cabutan itu adalah istimewa kerana bakal bertembung dengan kelab besar yang biasanya terpilih daripada Liga Juara-Juara (UCL).
“Saya berasa ia bagus untuk Liga Eropah kerana ini adalah kelab besar yang biasanya kelab Liga Juara-Juara tetapi kami berada dalam situasi ini.
“Cabutan yang sangat menarik, sangat emosional dan salah satu perlawanan bola sepak paling istimewa yang anda bakal lihat pada masa kini,” katanya.
Malah menurut Mirror, kali terakhir kedua-dua pasukan itu bertemu adalah pada suku akhir Liga Juara-Juara pada tahun 2019.
Sumber: Mirror