Siakap Keli

Persidangan Antarabangsa @ COCOTECH 2022 Perkukuh Industri Kelapa

KUALA LUMPUR, 7 NOVEMBER 2022 : Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dengan kerjasama International Coconut Community (ICC) akan menganjurkan 50th International Cocotech Conference and Exhibition 2022 (COCOTECH 2022) bermula dari 7 hingga 11 November 2022 bertempat di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC), Kuala Lumpur.

Malaysia telah diberi mandat menjadi tuan rumah bagi persidangan kali ini bertemakan “Climate Change Adaptation and Mitigation Strategy for a Resilient and Sustainable Coconut AgroIndustry”. COCOTECH 2022 dijangka akan dihadiri seramai 400 orang peserta terdiri daripada delegasi negara-negara ahli dan bukan ahli di bawah ICC serta pakar-pakar tanaman kelapa dari seluruh dunia.

Menurut Timbalan Menteri (I), YB Datuk Seri Haji Ahmad Hamzah, COCOTECH 2022 akan mengetengahkan isu-isu global yang memberi impak terhadap industri kelapa dunia. Antaranya adalah isu penyesuaian agronomik dan genetik kelapa terhadap perubahan iklim, pemuliharaan dan penggunaan sumber genetik kelapa, galakan bagi pembangunan eksport hijau produk kelapa serta kepentingannya dalam meningkatkan kesihatan awam dan pencegahan penyakit. Diskusi dan solusi terhadap isu-isu ini diharap mampu memperkukuh dan melonjakkan industri kelapa agar berdaya tahan dan mampan.

Sebagai rekod, ICC ditubuhkan pada tahun 1969 dibawah naungan Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Asia dan Pasifik (The United Nations Economic and Social Commission for Asia and The Pacific (UN-ESCAP). Ia berperanan sebagai platform bagi merangsang kerjasama strategik, perkongsian, kepakaran, teknologi dan maklumat industri kelapa disamping mendokong permasalahan yang dihadapi oleh negara-negara anggotanya.

ICC terdiri daripada 20 negara pengeluar kelapa termasuk Malaysia yang menyumbang lebih daripada 90 peratus pengeluaran dan eksport kelapa dunia. Antara negara ahli ICC lain adalah Federated States of Micronesia, Fiji, Filipina, Guyana, India, Indonesia, Jamaica, Kenya, Kiribati, Malaysia, Marshall Islands, Papua New Guinea, Samoa, Solomon Islands, Sri Lanka, Thailand, Timor Leste, Tonga, Vanuatu dan Vietnam.

Bagi menyemarakkan lagi persidangan ini, sebanyak 40 reruai pameran daripada syarikat dalam dan luar negara berkaitan produk dan perkhidmatan kelapa turut dipamerkan sepanjang persidangan berlangsung dan dibuka secara percuma kepada orang ramai bermula dari 7 hingga 10 November 2022 mulai jam 9.00 pagi hingga 6.00 petang di Dewan 6A dan 6B, KLCC.

Selain itu, Malaysia akan turut membentangkan dua (2) kertas pada 8 November 2022 semasa Sesi Ke-3 bertajuk IoT Based Smart Irrigation System in Management of Coconut Nurseries. Pembentangan kertas kerja disampaikan oleh Pengarah Bahagian Kejuruteraan Pertanian, Jabatan Pertanian Malaysia (DOA), Puan Airul Asmiza binti Khaeruddin dan Good Agricultural Practies in Supporting Coconut Production and Industries oleh Pengurus Penyelidikan, Unied Plantations Bhd, En. Kandha Sritharan.

Persidangan ini juga membuka ruang pembentangan dari pakar bidang kelapa antaranya En. Benjamin R. Madrigal Jr. daripada Philipine Coconut Authority, Philippines, Dr. Joko Purbopspidari University Sam Ratulangi, Indonesia, Dr. Bart Panis, Genetic Resources Conversation, Alliances of Biodiversity International & CIAT, Belgium dan Dr. Anitha Karun daripada ICAR-Central Plantation Crop Research Institute (CPCRI) India.

Kerajaan melalui MAFI komited dalam memastikan kolaborasi strategik awam-swasta terutamanya diperingkat antarabangsa akan menjadi usaha berterusan untuk memperkukuh jenama produk tempatan di dalam dan luar negara sekaligus memacu pertumbuhan ekonomi negara dalam sektor pertanian dan agromakanan.

Amira

Love yourself.