Siakap Keli
Gerhana Bulan Penuh
Gambar: Facebook Make up by Bellaz/Miguel de Guzman/Twitter@asep_rivaa

Pesona Warna Kemerahan, Netizen Kongsi Foto Menakjubkan Fenomena Gerhana Bulan Penuh

Pesona Warna Kemerahan, Netizen Kongsi Foto Menakjubkan Fenomena Gerhana Bulan Penuh

Hari ini, hampir seluruh penduduk di dunia berpeluang untuk menyaksikan fenomena Gerhana Bulan Penuh atau blood moon.

Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) juga membuat siaran langsung berhubung fenomena itu di halaman Facebook bermula pada jam 5.09 petang hingga 8.49 malam tadi.

Sementara itu, menerusi tinjauan di media sosial seperti Facebook dan Twitter mendapati rata-rata warganet turut berkongsikan pelbagai foto detik-detik menakjubkan gerhana bulan itu.

Malah, blood moon turut menjadi sohor kini di Twitter sejak petang tadi.

Walaupun kebanyakan negeri di Malaysia mengalami hujan lebat sejak siang tadi, namun ada beberapa kawasan yang masih boleh melihat fenomena tersebut.

Salah satu perkongsian yang menarik perhatian ramai adalah yang dikongsikan oleh MUA terkenal, Bellaz di Facebook miliknya sebentar tadi.

“Bellaz kongsikan beberapa gambar yang sempat ambik, kebesaran ciptaan Allah SWT, bulan malam ni sangat cantik,” katanya.

Dalam pada itu, perkongsian daripada pengguna media sosial di luar negara juga tidak kurang hebatnya.

Menerusi imej-imej yang dikongsikan, dapat dilihat keindahan bulan tersebut yang sangat menakjubkan.

Untuk pengetahuan, Gerhana Bulan Penuh ini merupakan central lunar eclipse, iaitu gerhana bulan yang berlaku apabila cakera Bulan melalui paksi bayang umbra Bumi yang berada di tengah-tengah bayang umbra Bumi.

Central lunar eclipse merupakan gerhana penuh yang mempunyai nilai magnitud umbra yang tinggi, tempoh yang panjang dan nilai gamma yang rendah.

Difahamkan, magnitud umbra pada kali ini ialah 1.3607 dan nilai Gamma adalah 0.2570 dengan tempoh gerhana penuh maksimum adalah selama 85.7 minit.

Terdahulu MYSA dalam satu kenyataan menjelaskan bahawa bulan berada pada kedudukan paling jauh dari bumi (apogee) dengan jarak 404,923 kilometer (km) sewaktu fenomena berkenaan berlaku.

Sumber: Facebook Make up by Bellaz, Twitter, Agensi Angkasa Malaysia (MYSA)

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?