Umpama Kryptonite, Batu Zamrud Terbesar Di Dunia Ditemui Di Zambia
Baru-baru ini, Guinness World Records melaporkan bahawa batu permata zamrud terbesar di dunia seberat 7,525 karat atau 1.505 kilogram telah ditemui di Zambia.
Permata itu telah ditemui di lombong Kagem yang terletak di Wilayah Copperbelt, Zambia oleh dua orang ahli geologi iaitu Manas Banerjee dan Richard Kapeta serta pasukan mereka pada Julai 2021.
Times Now News melaporkan, batu permata tersebut dinamakan Chipembele yang bermaksud ‘badak’ dalam dialek asli tempatan orang Bemba di Zambia.
Sebelum penemuan Chipembele, terdapat dua batu zamrud besar ditemui di lokasi yang sama.
Yang pertama ditemui pada 2010 iaitu Insofu yang bermaksud ‘gajah’, manakala yang kedua pula dinamakan Inkalamum yang bermaksud ‘singa’ dan ditemui pada 2018.
Berat Infosu ialah 6,225 karat (1.245 kg) dan Inkalamum pula 5,655 karat (1.13 kg). Walau bagaimanapun, ketiga-tiga saiz batu berkenaan agak serupa antara satu sama lain.
Selain itu, ketiga-tiga batu ini juga ditemui di Kagem, lombong zamrud milik Gemfields yang mempunyai kerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Perindustrian kerajaan Zambia.
Syarikat berkenaan menyatakan Chipembele terbentuk dalam keadaan yang hampir sempurna, lapor Times Now News.
Dalam pada itu, Presiden Eshed-Gemstar dalam satu kenyataan berkata, “Kami mahu melakukan sesuatu yang sangat istimewa untuk meraikan hubungan kami dengan Afrika dan batu permata dari Afrika.”
Menurutnya, tidak ada yang lebih sesuai daripada memecahkan rekod Guinness World Records untuk batu zamrud terbesar yang belum dipotong itu.
Selain itu juga, mereka ingin memperkenalkan kepada seluruh dunia tentang keindahan batu permata semula jadi dari Afrika dan menyampaikan pengetahuan kepada generasi akan datang.
Sementara itu, ramai pengguna di Facebook menyatakan bahawa batu permata tersebut kelihatan seperti kryptonite iaitu batu hijau yang digunakan untuk menentang Superman dalam filem adiwira tersebut.
Sumber: Sinar Harian, Times Now News