Disyaki Ganggu Gajah Hingga ‘Naik Minyak’, Lelaki Didenda RM12K
THAILAND — Seorang pemandu dilaporkan didenda 100,000 baht (RM12,733) berikutan menganggu seekor gajah liar sewaktu memandu di Taman Negara Khao Yai di wilayah timur laut Nakhon Ratchasima pada Sabtu lalu.
Memetik The Thaiger, video pemandu kenderaan terbabit tular selepas satu rakaman video yang dimuat naik di halaman Facebook dan saluran YouTube mendedahkan lelaki itu dipercayai cuba memprovakasi mamalia tersebut di bahu jalan di Khao Yai.
Dalam rakaman tersebut, kelihatan kenderaan yang dipandu lelaki terbabit mendekati haiwan itu sebelum berhenti seketika di tengah jalan.
Tambahan lagi, dia turut kelihatan membuka pintu kenderaan yang dipercayai untuk merakam gajah itu sebelum beredar.
Bagaimanapun, tindakan lelaki tersebut mendapat kecaman daripada netizen Thailand yang tidak berpuas hati terhadap video itu. Sebahagian warganet mendakwa perbuatan itu adalah menyalahi undang-undang.
Sementara itu, laporan dalam satu stesen penyiaran mendedahkan bahawa pemandu itu telah menyerahkan diri kepada pihak polis untuk membayar denda.
Susulan kejadian itu, Ketua Taman Negara Khao Yai, Chaiya Huayhongthong mendedahkan bahawa pemandu itu telah melanggar undang-undang di bawah Seksyen 20 Akta Taman Negara dan dikenakan denda sehingga 100,000 baht (RM12,733).
Tambah Chaiya, dia memberi amaran kepada pengunjung agar tidak melakukan tindakan yang tidak sepatutnya sewaktu berhadapan dengan gajah atau mana-mana hidupan liar di taman tersebut.
“Sekiranya bertemu dengan mamalia itu, orang ramai boleh mengenal pasti emosi gajah dengan hanya melihat telinga dan ekornya.
“Apabila telinganya dikibaskan ke hadapan dan ekor berada dalam keadaan tegang berdiri itu bermaksud haiwan itu sedang marah,” katanya.
Sehubungan itu, dia menasihati kepada pemandu untuk menjaga jarak sekurang-kurangnya 30 meter daripada haiwan terbabit dengan tidak membuat sebarang bunyi hon atau bising dan mematikan lampu sambil bergerak ke belakang secara perlahan.
Sumber: The Thaiger