Siakap Keli

Gardenia KL Memperuntukkan RM500,000 Untuk Bantu Mangsa Banjir

Shah Alam, Selangor, 8 November 2022 – Gardenia Bakeries KL Sdn Bhd (Gardenia KL),  memperuntukkan sejumlah RM500,000 untuk program bantuan banjir kebangsaan 2022  kendaliannya. Sumbangan berbentuk produk Gardenia, akan diagihkan kepada penduduk di  kawasan yang terjejas, dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA)  dan juga Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada musim tengkujuh yang diramal pada  hujung tahun ini. 

“Gardenia KL bersyukur dan menghargai kepercayaan dan sokongan yang diberikan oleh  pengguna selama ini. Sejajar dengan falsafah #GardeniaCares, kami sentiasa bersedia dan  komited untuk berbakti kepada masyarakat,” ujar Pengurus Besar Hal Ehwal Korporat dan  Perhubungan Awam Gardenia KL, Hazlinah Harun. 

Bagi program bantuan kemasyarakatan syarikat, Gardenia KL telah berganding bahu dengan  beberapa NGO dan juga Yayasan Food Bank Malaysia (YFBM). Dalam pada itu, Gardenia  KL juga akan bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan dan NGO yang terlibat dalam  bantuan bencana dan hal ehwal kebajikan masyarakat, untuk memastikan kejayaan program  bantuan banjir tersebut. 

Organisasi yang bekerjasama dengan Gardenia KL akan membantu mengagihkan produk  Gardenia di pusat-pusat bantuan dan penempatan banjir yang akan dikenal pasti mengikut  keperluan sepanjang musim monsun hujung tahun. Sementara itu, penghantaran produk produk Gardenia ke pusat-pusat bantuan di seluruh negara akan dikendalikan sendiri oleh  pasukan pengedarannya. 

“Pasukan kami mempunyai pengalaman yang luas dalam menguruskan rangkaian  pengedaran kami. Mereka sangat mahir tentang selok-belok dan laluan yang paling pendek  dan pantas bagi membolehkan bantuan banjir diagihkan dengan cepat dan tepat pada  masanya ke pusat-pusat bantuan banjir di seluruh negara. Kami berharap agar bekalan  makanan ini akan memberi sedikit kelegaan dan serba sedikit dapat membantu meringankan  kesusahan yang ditanggung oleh mangsa banjir,” tambah Hazlinah. 

Gardenia KL sebelum ini pernah bekerjasama dengan beberapa agensi kerajaan dan NGO  yang berkaitan seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat, Shah Alam; Jabatan Perdana  Menteri; Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI); Kuil Sri Maha Mariamman; Persatuan Pengguna Harapan Malaysia; Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA); dan  Persatuan Bulan Sabit Merah Sri Muda Shah Alam. Berbekalkan pengalaman yang ditimba  semasa bekerjasama dengan organisasi-organisasi ini, Gardenia KL komited untuk  memastikan proses pengagihan yang lancar bagi memastikan bantuan sampai kepada  golongan yang memerlukan dalam masa yang paling singkat dan cepat. 

Pada tahun-tahun yang lepas, Gardenia KL juga telah menghulurkan bantuan makanan  kepada golongan yang terkesan akibat bencana alam di bawah gerakan #GardeniaCares.  Semasa bencana banjir menimpa pada bulan Disember 2021 hingga Januari 2022, Gardenia  KL menyumbang sebanyak 161,900 unit produk bernilai RM261,838 kepada mangsa banjir. 

“Kami ingin mengambil kesempatan ini untuk menasihati semua orang yang tinggal di  kawasan yang terdedah kepada banjir dan di kawasan tanah rendah untuk mengambil  langkah berjaga-jaga tambahan dan berwaspada untuk tempoh beberapa bulan akan datang.  Demi keselamatan diri sendiri, keluarga dan jiran anda, berhati-hati serta buat persiapan awal  untuk berpindah ke pusat pemindahan dengan pantas. Pastikan anda telah bersiap-sedia  untuk membawa semua dokumen penting, barang berharga dan ubat-ubatan yang diperlukan.  Paling utama, anda mesti menjaga keselamatan diri anda. Kami berharap semua orang yang  terlibat akan mematuhi arahan agensi-agensi yang berkenaan dan menjaga keselamatan,”  ujar Hazlinah. 

Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan kebanyakan negeri di Semenanjung Malaysia  akan menerima hujan sehingga 900mm pada bulan November, yang mungkin mengakibatkan  banjir kilat di seluruh negara.  

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.