Siakap Keli
Kredit: Nepal Army/ANI via Twitter

Gempa Bumi Landa Barat Nepal, Sekurang-Kurangnya 6 Orang Dilapor Maut

NEPAL – Satu kejadian gempa bumi bermagnitud 5.6 pada skala Richter telah melanda barat Nepal pada pagi Rabu yang mengorbankan sekurang-kurangnya enam orang.

Memetik laporan CNN, pusat gempa bumi tersebut berada di Zon Seti dengan kedalaman 15.7 kilometer.

Ia turut dilaporkan berada 21 kilometer di timur Dipayal iaitu sebuah perbandaran daerah Doti di barat Nepal.

Gegaran tersebut turut dirasai sehingga ke ibu negara India, New Delhi dan berlarutan selama kira-kira 10 saat.

Berikutan kejadian tersebut, sekurang-kurangnya lima orang dipercayai maut dan lima mangsa cedera di perbandaran luar bandar Purbichauki di daerah Doti, kata Timbalan Penguasa Polis, Bhola Bhatta.

Menurutnya lagi, tiga rumah musnah sepenuhnya dalam gempa bumi itu.

Pihaknya turut memaklumkan bahawa operasi mencari dan menyelamat sedang giat dijalankan.

Tambahnya, pusat gempa bumi kelihatan berada di kawasan yang jarang didiami berhampiran Taman Negara Khaptad, oleh itu pihak berkuasa tidak menjangkakan jumlah kematian yang besar.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Nepal, Sher Bahadur Deuba mengucapkan takziah  kepada keluarga mangsa yang terlibat.

“Saya telah mengarahkan agensi yang berkaitan untuk menguruskan dan memberi rawatan segera kepada mangsa yang cedera di kawasan terjejas,” katanya.

Terdahulu, gempa bumi berukuran 7.8 magnitud yang melanda Nepal pada 2015 telah menyebabkan kira-kira 9,000 kematian dan banyak rumah serta struktur musnah.

Sumber: CNN

Farah Nabilah

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.