Jangan Mudah Terpedaya, Ketahui 6 Taktik Licik “Scammer” Selalu Guna
Dunia serba moden kini telah menyebabkan maklumat data peribadi kita mudah terdedah kepada mereka yang tidak bertanggungjawab. Terutamanya kepada golongan scammer yang pandai mencari ruang dan peluang untuk menipu kita.
Sehingga hari ini, masalah panggilan daripada scammer ini seperti tiada penghujungnya. Ada sahaja mangsa yang terpedaya dengan modus operandi mereka ini.
Oleh itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna melalui hebahan infografiknya telah menyenaraikan taktik panggilan daripada scammer bagi memberi maklumat kepada orang ramai.
Infografik yang bertajuk kenali taktik panggilan daripada scammer itu menyenaraikan enam jenis taktik yang mungkin akan dilakukan oleh scammer kepada anda.

Yang pertama ialah pemanggil cuba mengambil tahu mengenai maklumat perbankan anda. Jika mendapat panggilan sedemikian pastikan ianya adalah merupakan benar-benar merupakan wakil dari bank yang anda sedang berurusan.
Yang kedua pula ialah pemanggil memaklumkan bahawa anda telah memenangi cabutan bertuah. Untuk panggilan jenis ini, sekiranya anda tidak pernah menyertai mana-mana pertandingan mahupun peraduan jangan pernah sesekali memberi maklumat peribadi anda untuk sebarang pengesahan.
Panggilan yang ketiga ialah pemanggil mengatakan bahawa anda mempunyai tunggakan bayaran cukai dengan Jabatan Hasil Dalam Negeri. Sama juga seperti panggilan-panggilan lain. Jika pemanggil meminta anda untuk membuat pengesahan maklumat tolong jangan begitu mudah percaya.
Kerana jika benar pemanggil wakil dari Jabatan Kerajaan mereka akan mempunyai maklumat pengguna mereka. Mereka tidak perlu untuk anda membuat pengesahan terlebih dahulu.
Selain itu ialah, pemanggil memaklumkan anda terlibat dalam kes jenayah atau mempunyai saman tertunggak. Untuk panggilan seperti ini jika wujud perasaan curiga elakkan untuk terus melayani kehendak pemanggil.
Bagi mendapatkan kepastian, selepas anda meletakkan panggilan tersebut hubungi balai polis berdekatan untuk bertanyakan kejadian sebenar yang melibatkan anda. Pastikan jangan mudah tertipu dengan modus operandi scammer.
Seterusnya ialah pemanggil daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan mengatakan bahawa dia mempunyai waran tangkap untuk menangkap anda. Bagi panggilan ini, pengguna dinasihatkan agar meletakkan panggilan sejurus pemanggil memperkenalkan diri mereka.
Langkah pertama yang anda harus lakukan ialah jangan gelabah, kalau rasa panggilan itu mencurigai anda boleh membuat laporan polis berkenaan panggilan tersebut.
Yang terakhirnya ialah panggilan yang dimulakan dengan operator dan memerlukan anda untuk menekan nombor kosong bagi menyambung panggilan. Panggilan jenis ini sangat jelas bahawa pemanggilnya merupakan scammer. Jadi dapat sahaja panggilan seperti ini tutup panggilan segera.
Diharap dengan penerangan ini dapat membantu orang ramai lebih mengenali tentang taktik panggilan daripada scammer yang sedang berleluasa kini. Seperti slogan kempen KPDNHEP “tutup panggilan segera jika anda curiga”. Buat laporan polis segera jika anda menjadi mangsa penipuan atas talian berkenaan.
Sumber: KPDNHEP