Siakap Keli
Pemandu ambulans sebak mangsa anak sendiri
Kredit: Mothership

Pemandu Ambulans Sebak, Mangsa Kemalangan Diambil Rupanya Anak Sendiri

Seorang pemandu ambulans di Terengganu menerima panggilan kecemasan mengenai kemalangan di Kilometer 38 di Jalan Kuala Terengganu-Kota Baru pada Ahad (6 November) kira-kira 4:30 petang.

Pemandu ambulans Klinik Kesihatan Sungai Tong, Mohd Taqwa Ismail, 49, diarahkan untuk mengambil mangsa di tempat kejadian dan membawanya ke Hospital Setiu.

Bagaimanapun sebaik sahaja tiba, dia tidak dapat menahan sebak selepas menyedari mayat mangsa kemalangan yang terbaring kaku di depannya rupanya anak sendiri.

Menurut Taqwa, kejadian tragis seperti itu merupakan kali pertama berlaku dalam hidupnya, apatah lagi menguruskan mangsa kemalangan daripada darah dagingnya sendiri.

“Sepanjang 21 tahun saya bekerja sebagai pemandu ambulans, itulah kali pertama saya berdepan dengan situasi yang melibatkan ahli keluarga.

“Hanya Allah yang tahu kesedihan yang saya rasakan ketika itu,” luahnya.

Jelas Taqwa, anaknya, Muhammad Aiman yang berusia 21 tahun itu baru sahaja memulakan kerjayanya di unit landskap Taman Warisan Islam, Taman Tamadun Islam Terengganu sekitar lima bulan yang lalu.

“Selalunya Aiman akan bawa makanan ke tempat kerja tetapi semalam (hari kejadian) dia ada cakap nak makan malam di rumah,” kata Taqwa.

Dalam pada itu, Taqwa menyifatkan anak keduanya itu sebagai seorang yang pendiam tetapi dapat menyesuaikan diri dalam apa jua keadaan.

Pengesahan daripada pihak polis

Sementara itu, ketua polis di daerah itu mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Difahamkan mangsa ketika itu sedang dalam perjalanan pulang ke rumah di Sungai Tong dari Kuala Nerus ketika nahas tersebut berlaku.

“Mangsa yang menunggang Honda EX5 dikatakan cuba memotong kenderaan lain dan merempuh lori yang datang dari arah berlainan,” jelasnya.

Sementara itu, pemandu lori disahkan tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian tersebut.

Bagaimanapun, jenazah mangsa selamat dikebumikan pada Isnin (7 November), sehari selepas kemalangan tersebut berlaku.

BACA JUGA: Pemandu Ambulans Dakwa Dengar Bunyi Orang Menangis Kat Belakang

Sumber: Mothership

Florence Nuar

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.