Perkhidmatan LRT Tergendala: Jumlah Kenderaan Meningkat, Lebuhraya Persekutuan Dilapor Sesak
Kesesakan lalu lintas dilaporkan berlaku di Lebuhraya Persekutuan menghala ke ibu kota dari arah Petaling Jaya pagi tadi berikutan pertambahan jumlah kenderaan.
Menurut Bernama, kesesakan tersebut terjadi disebabkan oleh perkhidmatan LRT laluan Kelana Jaya tergendala sejak semalam.
Susulan daripada itu, RapidKL pada pagi tadi telah mengeluarkan notis gangguan perkhidmatan LRT yang melibatkan 16 stesen dari Stesen Kelana Jaya hingga ke Stesen Ampang Park selama tujuh hari bermula hari ini.
Penggantungan operasi itu bermula dari 9 November sehingga 15 November melibatkan stesen LRT yang beroperasi dari pukul 6 pagi hingga 11 malam sahaja.
Pada pagi tadi juga Prasarana dalam sidang media khas yang diadakan memohon maaf atas masalah gangguan perkhidmatan LRT yang membabitkan 16 stesen di Laluan Kelana Jaya.
Ketua pegawai eksekutifnya, Mohd Azharuddin Mat Sah berkata, sebagai alternatif, syarikat itu juga telah menyediakan 69 buah bas untuk menyokong bas perantara sedia ada bagi laluan terbabit.
“Disebabkan gangguan perkhidmatan LRT, kami telah menyediakan 69 buah bas untuk menyokong bas perantara,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Mohd Azharuddin Mat Sah.
#KualaLumpur Jumlah kenderaan meningkat menyebabkan berlaku kesesakan lalu lintas sehingga 11 pagi tadi di Lebuhraya Persekutuan menghala ke ibu kota dari arah Petaling Jaya kerana perkhidmatan pengangkutan LRT laluan Kelana Jaya tergendala sejak semalam. pic.twitter.com/w7TTh0OKqM
— BERNAMA (@bernamadotcom) November 9, 2022
Sumber: BERNAMA