Hasrat seorang lelaki yang bakal berkahwin beberapa bulan lagi tidak kesampaian apabila dia meninggal dunia akibat terkena renjatan elektrik dalam kejadian di Nirimba, Australia pada Jumaat.
Memetik Yahoo News, juruteknik elektrik berusia 36 tahun itu direnjat arus elektrik semasa mengendalikan pemasangan di tiang elektrik di sebuah kawasan hak milik persendirian di kawasan tersebut yang terletak 90 kilometer dari selatan Perth.
Difahamkan, pihak polis menerima panggilan kecemasan tentang nahas itu sebelum pihaknya bergegas ke lokasi kejadian, bagaimanapun mangsa ditemui kaku dan disahkan sudah meninggal dunia.
Pengarah Bahagian Keselamatan Tenaga Australia Barat, Saj Abdoolakhan berkata, mangsa terkena renjatan itu akibat arus elektrik yang masih ‘hidup’.
“Maklumat dan siasatan setakat ini mendapati mangsa bekerja di tiang elektrik di sebuah kawasan hak milik persendirian.
“Ia berlaku akibat arus elektrik yang masih ‘hidup’ semasa mangsa mengendalikan pemasangan di lokasi kejadian.
“Kami kini sedang menyiasat punca bagaimana renjatan itu boleh berlaku agar boleh lebih berhati-hati jika tragedi sama berlaku lagi pada masa akan datang,” katanya, memetik Perth Now menerusi Yahoo News.
Difahamkan, mangsa mempunyai seorang anak perempuan berusia 16 bulan – ibunya tidak dikenal pasti – dan dia bakal mendirikan rumah tangga bersama tunangnya pada tahun depan.
Reaksi orang sekeliling terhadap kematian mangsa
Sementara itu, ketika berita kematiannya tersebar, tunangnya berasa amat sedih kerana menganggap bakal suaminya itu adalah seorang manusia yang baik.
Dalam masa sama, seorang rakan mangsa yang mendapat tahu kes juruelektrik terkorban (mangsa) di kawasan kejadian cuba menghubunginya namun gagal tidak dijawab hingga membuatkannya tidak sedap hati.
Dalam temu bual bersama pemberita, rakan berkenaan yang bekerja bersama mangsa turut meluahkan dirinya sedih akan tragedi yang berlaku.
Lelaki tersebut turut mendedahkan kisah peribadi mangsa semasa hidupnya.
“Saya berasa sedih dan perasaan kosong menyelubungi diri saya.
“Dia sangat lantang dalam kelab bola sepak Pinjarra Tigers dan pernah menjadi kapten beberapa musim perlawanan.
“Dari situ, dia dilihat sebagai seorang pemimpin yang sangat dihormati,” jelasnya kepada Nine News, memetik Yahoo News.
Bagaimanapun siasatan kini sedang dijalankan, malah pihak berkuasa berusaha untuk mencegah kejadian yang sama daripada berulang.
“Ia merupakan pekerjaan yang berbahaya dan anda perlu menjaga diri sendiri. Pastikan anda pulang ke rumah untuk bersama orang yang anda sayangi,” tambahnya.
Sumber: Mirror / Yahoo News