Akibat Cuaca Panas Melampau, Sebanyak 15,000 Kematian Direkodkan Di Eropah Tahun Ini
Sekurang-kurangnya 15,000 kematian telah dikaitkan dengan gelombang panas yang berlaku di seluruh Eropah tahun ini, lapor Daily Mail.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), ia termasuk 3,200 kematian yang dicatatkan di United Kingdom.
Negara yang paling teruk terjejas ialah Sepanyol dan Jerman dengan masing-masing merekodkan 4,000 dan 4,500 kematian dipercayai akibat cuaca panas tersebut.
Difahamkan, bulan Jun sehingga Ogos dicatatkan sebagai bulan paling panas di Eropah sejak ia direkodkan.
Suhu yang sangat tinggi telah menyebabkan kemarau terburuk berlaku di benua tersebut sejak Zaman Pertengahan.
Dalam pada itu, pengarah wilayah WHO di Eropah, Hans Kluge berkata berdasarkan data negara yang dikemukakan, 15,000 orang dianggarkan mati berpunca daripada cuaca panas yang berlaku pada tahun 2022.
“Hampir 4,000 kematian berlaku di Sepanyol, lebih 1,000 di Portugal dan sekitar 4,500 kematian di Jerman dilaporkan oleh pihak berkuasa kesihatan sepanjang 3 bulan musim panas tersebut.
“Jumlah ini dijangka meningkat apabila lebih banyak negara melaporkan kematian yang berpunca daripada cuaca panas,” katanya.
Tambahnya lagi, punca utama kematian berkaitan cuaca di Wilayah Eropah adalah disebabkan tekanan haba, yang berlaku apabila badan tidak dapat disejukkan dengan sendiri.
Di samping itu, suhu panas juga boleh memberi risiko kepada orang yang menghidap penyakit jantung kronik, masalah pernafasan dan diabetes.
Walau bagaimanapun, WHO menjelaskan bahawa lebih banyak penyakit dan kematian akan berlaku di masa hadapan jika tiada tindakan serius diambil.
Terdahulu, gelombang panas yang berlaku antara bulan Jun dan Julai telah menyebabkan 2,400 lagi kematian berlaku di Eropah, dengan suhu mencecah 40 darjah Celsius.
Sumber: Daily Mail