Siakap Keli
aplikasi harga barang
Gambar hiasan

Jimat Masa & Wang, Aplikasi Ni Boleh Banding Harga Barang Paling Murah Antara Kedai Berdekatan Rumah Korang

Mungkin ramai yang belum tahu, kita sebenarnya boleh berbelanja dengan bijak jika menggunakan sejenis aplikasi ini untuk semak harga barang.

Pernah ke korang alami situasi begini: pergi kedai runcit nak beli barang dapur, lepas tu bila nak tengok harga, terkejut dan cakap, “Apesal macam mahal sangat?”. Lepas tu baru teringat ada dua ke tiga lagi kedai runcit lain, maka korang pun sanggup ke sana.

Tujuannya bukan apa, cuma nak bandingkan harga barang runcit tadi je yang mana satu paling murah. Sebagai pengguna bijak, dah tentu la pilih yang murah kan? Tapi tak rasa macam melecehkan ke nak kena sampai pergi dua tiga kedai dalam satu masa semata-mata nak bandingkan harga?

Takda ke cara lain paling senang?

Jawapannya, ada. Sebenarnya ada satu cara paling mudah buat korang nampak lebih bijak dalam kewangan iaitu berbelanja guna aplikasi Price Catcher setiap kali nak beli barang. Kalau cara ‘old school’ selama ni nak beli barang tengok dulu harga, sekarang dah moden, beli barang tengok aplikasi dulu.

Untuk pengetahuan, aplikasi ni memaparkan harga barangan keperluan dan akan dikemaskini secara harian atau mingguan hasil kutipan daripada lebih 1,000 orang Pegawai Pemantau Harga (PPH) KPDNHEP di seluruh negara.

Lima kelebihan Price Catcher

Belum pernah lagi jumpa ada aplikasi yang boleh pandu kita untuk buat perbandingan harga barang terlebih dahulu. Justeru di sini korang kena tahu lima jenis kelebihan yang ada pada Price Catcher. Bukan sekadar tengok harga saja ya.

Carian pantas – Korang boleh buat carian pantas harga barang mengikut kategori dan lokasi. Misal kata kalau korang tinggal di sekitar Cyberjaya, cari je lokasi pasar-pasar basah terdekat di sekitarnya dan tengok harga sekali. Kalau harga barang situ ‘ngam’ dengan poket, boleh pergi terus.

Tunjuk arah – Dan yang lagi best, lepas dah jumpa lokasi premis pilihan, korang boleh terus ke sana menggunakan fungsi bantuan tunjuk arah sistem penjejakan global (GPS) menerusi saluran Google Maps mahupun Waze. Jimat masa kat situ.

Bakul Saya – Istilah ‘Add to cart’ cukup terkenal dalam kalangan ‘kaki shopping’ yang suka survey dan beli barang secara online dalam medium e-commerce, betul tak? Price Catcher pun ada fungsi sama, apa-apa barang yang korang dah ‘mark’ nak beli, boleh masukkan ke dalam Bakul Saya.

Perbandingan harga – Macam yang disebut tadi, kadang-kadang sampai terpaksa pergi dua tiga kedai lain sebab nak check mana satu yang murah. Lepas ni tak payah dah, rujuk saja perbandingan harga antara premis dan paparan dari harga terendah hinggalah ke harga tinggi. Selesai.

Kongsi ke media sosial – Menariknya, setiap hasil carian atau semakan harga yang dibuat dalam Price Catcher boleh terus dikongsikan ke media sosial korang. Ia juga boleh dijadikan sebagai panduan kepada orang lain yang nak beli barang macam korang juga.

Itulah lima kelebihan fungsi aplikasi Price Catcher yang jarang kita jumpa. Selari dengan peredaran zaman, kalau dulu nak beli barang kena tengok tanda harga dulu, sekarang cukup sekadar ‘key in’ sedikit maklumat pada skrin dan terus boleh tahu semuanya. Mudah.

Justeru bagi yang belum menggunakannya, Price Catcher boleh dimuat turun di Google Play Store dan Apple App Store secara percuma saja. Akhir kata, berbelanjalah secara berhemah dan pilihan ada di tangan korang. Selamat berbelanja!

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.