Bekas juara Ultimate Fighting Championship (UFC), Conor McGregor menyatakan hasratnya ingin membeli Liverpool selepas pemiliknya, Fenway Sports Group (FSG) mengakui akan mempertimbangkan untuk menjual kelab itu.
Menurut The Athletic pada Isnin (7 November), FSG dilapork memutuskan bahawa Liverpool sedia untuk dijual dan bersedia untuk mendengar tawaran daripada pihak yang berminat.
Malah, FSG juga mengatakan bahawa mereka akan mempertimbangkan untuk menjual kelab itu jika ia memberi kepentingan terbaik kepada pasukan Liga Perdana (EPL) berkenaan.
Sementara itu, McGregor yang didesak oleh para peminatnya telah memuat naik pada laman Twitter pada Selasa (8 November) dengan menulis, “Saya akan menyukainya!
“Saya pernah meminta maklumat berkaitan kelab ini, tidak lama kemudian saya mendengar (khabar penjualannya),” kongsinya di laman Twitter.
Imbas kembali, ketika gergasi EPL Chelsea diumum untuk dijual pada awal tahun ini, McGregor yang juga salah seorang peminat Manchester United berkata dia berminat untuk membeli kelab itu.

Kali terakhir bertarung pada Julai 2021
Menurut The Independent, kali terakhir McGregor bertarung di pentas UFC adalah pada Julai 2021, bagaimanapun dia mengalami patah kaki dengan kekalahan kedua berturut-turut kepada Dustin Poirier.
Dalam masa yang sama, McGregor dijangka kembali beraksi sebelum akhir tahun ini, namun kini namanya belum tersenarai di bawah Agensi Anti-Doping Amerika Syarikat.
Hal ini kerana seseorang atlet tinju di US perlu berada di bawah agensi berkenaan sekurang-kurangnya enam bulan sebelum bertanding.
Sementara itu, McGroger juga melibatkan dirinya dalam bidang perniagaan dengan menubuhkan jenama Wiski Proper Twelve pada 2018 lalu.
BACA JUGA: Bintang MMA, Conor McGregor Berminat Nak Membeli Chelsea
Sumber: The Independent