Siakap Keli
remaja tercampak dari jambatan
Gambar PDRM

Tiga Lelaki Ditahan Bantu Siasatan Kes Langgar Kenderaan Petugas Parti Politik

JOHOR BAHRU, 10 Nov (Bernama) — Polis menahan tiga lelaki warga tempatan di sekitar Larkin di sini, awal pagi tadi untuk membantu siasatan kes melanggar sebuah kenderaan yang digunakan untuk menjalankan kerja-kerja membaiki papan tanda sebuah parti politik.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata tangkapan terhadap kesemua suspek berusia 34 hingga 35 tahun itu dijalankan oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan pada 1.30 pagi.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kejadian yang berlaku pada 4.30 pagi semalam berpunca daripada salah faham di antara kesemua suspek yang beranggapan kenderaan mangsa merupakan kereta yang digunakan oleh individu yang berselisih faham dengan mereka di sebuah restoran sebelum itu.

“Hasil semakan mendapati salah seorang suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan jenayah dan kesemua suspek kini direman selama dua hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kamarul Zaman berkata orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Asri Jamalin di talian 014-6270324 atau Hotline IPD Johor Bahru Selatan (07-2182323).

Semalam, Bernama melaporkan sebuah kereta yang digunakan untuk menjalankan kerja-kerja memasang bahan kempen Barisan Nasional dilanggar dari belakang di beberapa lokasi bermula di kawasan Taman Mount Austin sehingga menyebabkan kerosakan di bahagian bonet dan bampar.

Sumber: BERNAMA

Faiz Mustafa