Siakap Keli
Gambar: Siakap Keli/Bernama

“Nak Beli Takut Mahal, Bila Tanya Harga Terus Bungkus, Terasa Macam Kena Paksa Beli”

Korang kalau nak beli sesuatu barangan tu, mesti nak tau harganya, betul tak? Sepatutnya peniaga mesti letak tanda harga pada setiap barangan yang dijual. Boleh dikatakan, itu adalah satu kemestian dan memang ada pun dalam akta. Kalau tiada, korang akan tanya tentang harga terlebih dahulu ke? Jarang rasanya kita dengar orang beli barang dahulu lepas tu baru tanya harga.

Selalunya, perniagaan seperti pasar raya, pasar basah, gerai makan, pasar malam atau kedai runcit memang sudah siap-siap pamerkan tanda harga. Hal ini memudahkan kita sebagai pengguna untuk membuat keputusan samada nak beli atau tidak. Iyalah kan, biasanya bajet kita ni memang terhad. Perbelanjaan mestilah akan kita rancang sebaiknya.

Namun demikian, ada juga segelintir peniaga yang tidak memaparkan tanda harga. Sehinggakan, ada pula masalah lain yang timbul terutama ketika korang ingin membuat pembayaran.

Mungkin korang sendiri pernah ada pengalaman ini.  Sebagai contoh, bayangkan ketika hendak beli barang, tapi korang tak tahu harga barang tu. ​​Tapi bila kita tanya berapa harganya, peniaga terus bungkus jualan tersebut dan baru beritahu harga. Bila dah bungkus dan hulurkan depan kita, segan pula jadinya bila tak jadi beli. Itu yang kita rasa seolah-olah terpaksa beli pun ada.

“Nak beli takut mahal, bila tanya harga terus bungkus macam kena paksa beli. Kita nak tolak pun jadi segan sebab dah bungkus terpaksa la beli walaupun harga mahal.”

Disebabkan itulah penandaan harga sangat penting! 

Secara jujurnya, korang yang mengalami situasi tersebut pasti akan rasa kecewa dan tidak berpuas hati dengan sikap segelintir peniaga yang tidak peka dengan penandaan harga. Perkara ini tidak boleh diambil mudah atau dibiarkan begitu sahaja.

Menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), harga merupakan satu perundangan yang telah dikuatkuasakan bermula pada tahun 1977 dengan 111 barangan terpilih. 

Kini dikenali sebagai Perintah Kawalan Harga (Penandaan Harga oleh Penjual Runcit) 1993, perundangan ini merangkumi semua jenis barangan yang dijual secara runcit.

Jadi, para peniaga tidak boleh memandang remeh dengan isu penandaan harga ini. Kepada korang yang meniaga ni, KPDNHEP telah menyenaraikan beberapa kewajipan penandaan harga seperti:

  • Hendaklah meletakkan tanda harga pada setiap barang atau contoh barangan yang dipamerkan bagi jualan;
  • Hendaklah menandakan setiap barang tersebut dengan tanda harga yang menunjukkan harga tunai bagi tiap satu unit, satu unit timbangan atau bagi setiap sukatan barangan tersebut;
  • Sekiranya jenis atau saiz barangan tidak sesuai ditandakan harga pada barang itu atas sebab jenis atau saiz, penjual runcit boleh menggunakan satu senarai harga yang dipaparkan di tempat yang boleh dilihat pengguna menyatakan perihal barang dan harganya dengan jelas;
  • Perihal dan harga ini hendaklah ditandakan dalam Bahasa Malaysia atau Bahasa Malaysia dan terjemahan sekiranya penjual runcit tidak memahami Bahasa Malaysia;
  • Saiz dan warna tanda harga hendaklah dapat dilihat dengan jelas oleh pengguna;
  • Harga hendaklah dinyatakan dalam Ringgit Malaysia (RM);
  • Pengguna hendaklah mempunyai akses kepada harga pada setiap masa.

Sebagai pengguna bijak, seharusnya korang kena tahu dan perkasakan hak-hak tersebut dan jika berlaku penyelewengan atau hak tersebut dinafikan, korang sebagai pengguna yang bijak harus berani bertindak.

tanya harga
Gambah Hiasan via @mykpdnhep

Salah satu tindakan adalah dengan membuat aduan lengkap dan KPDNHEP telah sediakan pelbagai saluran aduan yang memudahkan korang membuat aduan terhadap peniaga yang tidak beretika serta  tidak mematuhi peraturan.

  • Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) 1-800-886-800;
  • Aplikasi telefon pintar Ez ADU
  • Emel kepada [email protected]
  • Dan yang paling mudah ialah dengan whatsapp ke talian 019 279 4317 atau 109 848 8000.
tanya harga
Gambah Hiasan via @mykpdnhep

Untuk maklumat korang, peniaga yang gagal meletakkan tanda harga atau senarai harga bagi barangan yang dijual, mereka boleh dikenakan tindakan Kesalahan di bawah Perintah Kawalan Harga (Penandaan Harga Oleh Penjual Runcit) 1993.

Bagi Bukan Pertubuhan Perbadanan (Individu), mereka yang didapati bersalah boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara 2 tahun atau kedua-duanya sekali serta kompaun maksimum RM 25,000

Manakala bagi Pertubuhan Perbadanan (Syarikat) pula boleh didenda maksimum RM100,000 berserta kompaun maksimum RM 50,000.

Kita sebagai pengguna adalah yang paling dekat dengan peniaga, tidak seharusnya kita mengharapkan Penguatkuasa KPDNHEP untuk meronda, memantau dan memeriksa 24 jam gelagat peniaga dan jualan mereka.

Dikatakan, KPDNHEP pula cuma ada seramai 2,200 penguatkuasa seluruh negara. Nak kena jaga dari Perlis hingga ke Johor, dari Sabah hingga ke Sarawak. Memang tak mungkin lah kan. Jadi, kita sebagai pengguna ni harus turut membantu. Tapi, bagaimana caranya?

Uniknya, korang boleh membantu sebagai mata dan telinga kepada KPDNHEP. Eh, kenapa pula kena jadi mata dan telinga mereka? Kalau korang nak tahu, hanya dengan cara itu kita dapat  membina budaya kepenggunaan atau consumerism yang bijak, rasional dan berdaya-upaya. 

Semua pihak haruslah main peranan. Hasilnya, barulah ekonomi kita akan pulih dan kembali mampan. Peniaga selesa berniaga dengan mendapat keuntungan dan pengguna pula dapat merasa bekalan sentiasa ada serta harga pun berpatutan. 

tanya harga
Gambah Hiasan via @mykpdnhep

Kepada para peniaga, korang disarankan untuk mematuhi kewajipan penandaan harga sebagaimana dalam akta  serta tidak memandang remeh penguatkuasaan tersebut. Malahan, harga di kaunter mestilah sama dengan harga di juruwang. Hal ini penting agar perselisihan faham dengan para pengguna dapat dielakkan terutamanya ketika melakukan pembayaran. 

Penulis Bersama: Adib & Wai Tee

Adib Mohd