Siakap Keli
Kredit: TikTok

LRT Rosak, Pemuda Nekad Jalan Kaki 26 KM Balik Rumah Dari Universiti

Kejadian sistem pengangkutan LRT laluan Kelana tergendala menyebabkan orang awam, khususnya pengguna tegar pengangkutan awam ini terpaksa mengguna inisiatif lain untuk pulang ke rumah, lagi-lagi kejadian tersebut berlaku pada waktu puncak dan secara tiba-tiba.

Sebelum ini, Siakap Keli pernah melaporkan mengenai penggantungan operasi bagi 16 stesen LRT di Laluan Kelana Jaya, bermula dari 9 November sehingga 15 November.

Menurut laporan tersebut, RapidKL telah mengeluarkan notis gangguan perkhidmatan LRT yang melibatkan 16 stesen dari Stesen Kelana Jaya hingga ke Stesen Ampang Park selama tujuh hari bermula 9 November.

Akibat insiden tersebut, sudah semestinya ramai yang berdepan kesulitan dan perlu memikirkan alternatif lain untuk menuju ke destinasi yang hendak dituju.

Keratan artikel terdahulu

BACA JUGA: 16 Stesen LRT Digantung Operasi Selama Tujuh Hari Bermula Hari Ini

Terdapat pelbagai ragam masyarakat Malaysia untuk mengatasi masalah pengangkutan ini. Ada terpaksa menggunakan perkhidmatan e-hailing untuk pulang ke rumah dan ada juga yang terpaksa menunggu ahli keluarga atau rakan datang menjemput.

Bagaimanapun, seorang pempengaruh TikTok, Adam Eji (@adameji7) nekad dan memilih untuk berjalan kaki pulang dari Universiti Malaya (UM) sehingga ke kawasan perumahannya di Lembah Klang. Dalam perjalanan tersebut, Adam Eji menghabiskan masanya untuk berjalan kaki dari stesen ke stesen dan mengambil beberapa pengangkutan awam yang tersedia di ibu kota.

Kredit: TikTok

Bermulalah perjalanan pulang yang cukup berliku

Adam Eji memulakan perjalanan dari UM ke LRT Kerinchi, yang jaraknya dalam anggaran sejauh 1.9 km. Setelah tiba ke stesen tersebut, dia menyambung semula perjalanan ke KL Sentral dengan berjalan kaki. Berdasarkan anggaran Google Maps, perjalanan Adam Eji ke KL Sentral boleh menjangkau sehingga 5.2 km dan mengambil masa lebih dari sejam sembilan minit.

Ada sebab mengapa Adam Eji tidak menggunakan perkhidmatan e-hailing ataupun meminta bantuan ahli keluarga. Berdasarkan komennya di video TikTok tersebut, kos perkhidmatan e-hailing dari UM ke rumahnya memakan kos yang sangat tinggi dan waktu menunggu yang terlalu lama. Dia juga tidak mahu menyusahkan mana-mana pihak untuk mengambilnya pulang.

Kredit: TikTok

Walaupun dirinya terpaksa menjalani ‘marathon’ dalam keadaan lapar dan hujan lebat, Adam Eji masih bersifat positif dan menganggap apa yang dilaluinya sebagai satu latihan kardio. Dia juga berseloroh mengenai dirinya sedang menyahut seruan kerajaan untuk menjalani gaya hidup sihat dan aktif.

Pergi ke stesen untuk naik monorel, stesen tutup

Seusai tiba di KL Sentral, Adam Eji memberitahu pengguna TikTok bahawa suasana di sana sangat huru-hara. Boleh dikatakan, orang ramai yang sedang berada dalam keadaan tersebut boleh naik gila atas apa yang berlaku atas diri mereka.

Memandangkan dirinya sudah lama tidak menggunakan Monorel, Adam Eji mengambil Monorel dari KL Sentral ke stesen Bukit Nenas. Difahamkan, stesen Monorel Bukit Nenas bersambung dengan stesen LRT Dang Wangi. Setelah turun dari stesen tersebut, Adam Eji meneruskan perjalanan ke KLCC dengan berjalan kaki, jaraknya kira-kira 1.7 km.

Niat asalnya ke KLCC adalah untuk mengambil LRT ke rumahnya secara terus. Namun, itu hanya satu perancangan yang tidak dapat dilaksanakan apabila dia mendapati stesen LRT KLCC ditutup. Disebabkan itu, dia terpaksa berjalan kaki ke LRT Ampang Park yang terletak kira-kira satu kilometer. Namun malangnya, seperti Stesen LRT KLCC, LRT Ampang Park juga ditutup.

Kredit: TikTok

Disebabkan perjalanan ke rumahnya masih lagi jauh, Adam Eji mengambil bas dari LRT Ampang Park dan berhenti di kawasan Gleanegles Hospital. Pemuda tersebut tekad untuk berjalan kaki dari titik permulaannya tadi sehingga stesen LRT Jelatek kira-kira dalam 1.1 km.

Perjalanan berakhir dengan menaiki LRT

Setelah menghabiskan masa untuk berjalan kaki dari satu tempat ke tempat yang lain, Adam Eji mengambil tren dari stesen Jelatek ke kawasan perumahannya di Lembah Keramat.

Kredit: TikTok

Perjalanan yang mengambil jarak kira-kira 26 km itu umpama memberikan perasaan seolah-olah menaiki rollercoaster dan mengambil masa lebih dari dua jam untuk sampai ke destinasi. Jika stesen LRT tidak mengalami masalah, perjalanan Adam Eji hanya mengambil masa dalam sejam 26 minit sahaja.

Berikut merupakan pautan ke video TikToknya:

@adameji7

LRT rosak but at least i have a healthy body! 🤩 #fyp #fypdongggggggg #lrtrosak #rapidkl #adameji7 #malaysiatiktok #africanmalaysian #kualalumpur #kelanajayaline

♬ original sound – Adam Eji – Adam Eji

Sumber: Adam Eji via TikTok

 

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.