Lelaki Terkandas 18 Tahun Di Lapangan Terbang Dilapor Meninggal Dunia
Seorang lelaki warga Iran yang menjadi sumber inspirasi kepada filem “The Terminal” dilaporkan meninggal dunia pada usia 76 tahun.
Memetik laporan Mirror UK, lelaki yang dikenali sebagai Mehran Karimi Nasseri itu mengalami serangan jantung di Terminal 2F Lapangan Terbang Charles de Gaulle di Paris.
Lelaki itu telah ‘terkandas’ di lapangan terbang selama 18 tahun setelah kehilangan dokumen perjalanannya.

Bagaimanapun, dia dikatakan tinggal beberapa tahun di rumah jagaan dan hotel di Paris, dan kemudiannya dipercayai kembali semula ke lapangan terbang.
Pada tahun 1986, dia memutuskan untuk menetap di UK kerana ibunya berasal dari negara tersebut namun dokumen perjalanannya didapati telah hilang.
Setibanya di London, dia gagal untuk mengemukakan pasportnya kepada pegawai imigresen dan telah dihantar pulang ke Perancis.
Setelah itu, dia dibebaskan dan memilih untuk tinggal di lapangan terbang kerana tiada tempat lain untuk diduduki olehnya.
Walau bagaimanapun, setelah beberapa tahun, Mehran Karimi akhirnya telah diberi kebenaran untuk tinggal di Perancis.
Namun dia menolak dan memutuskan untuk kembali tinggal di lapangan terbang sahaja.

Kisahnya yang menetap di lapangan terbang itu kemudiannya diinspirasikan ke dalam sebuah filem yang berjudul ‘The Terminal’ yang diarahkan oleh Steven Spielberg.
Wataknya telah dimainkan oleh pelakon popular, Tom Hanks.
Mehran Karimi juga dianggap sebagai watak ikonik di lapangan terbang itu dan kakitangan di situ kebanyakannya memberikan gelaran ‘Lord Alfred’ kepadanya.
Dalam filem tersebut, dia dilihat terkandas di kawasan transit di Lapangan Terbang Paris-Charles de Gaulle.
Namun, realitinya dia benar-benar menetap di sana dan menjadikan lapangan terbang itu sebagai rumahnya.
Sumber: Mirror UK