Sepasang sandal kulit suede Birkenstocks lama milik pengasas Apple, Steve Jobs dijual pada harga lebih RM900,000 dalam satu laman web lelongan.
Menurut Daily Trust, pembelian sandal yang dipakai oleh Steve Jobs itu mencatatkan rekod harga tertinggi yang pernah dibayar untuk lelongan sepasang sandal.
Sebelum ini, sandal Arizone suede coklat itu dijangka terjual pada harga RM270,000 sahaja, namun lebih menakjubkan ia terjual pada harga RM990,000, lapor CNN.

Menurut laman web lelongan dari Carlifornia itu, sandal milik Jobs tersebut digunakan dengan baik dan berada dalam keadaan yang masih utuh.
Tambahnya lagi, sandal itu pernah dipakai oleh Jobs sekitar tahun 1970-an hingga 1980-an sebelum dia meninggal dunia pada 2011 akibat komplikasi daripada kanser pankreas.
“Tapak kaki sandal itu telah meninggalkan kesan kaki Steve Jobs yang dibentuk selepas bertahun-tahun digunakan,” memetik kenyataan itu.
Namun begitu, sandal berjenama Birkenstocks itu sempat diselamatkan oleh bekas pengurus rumah Jobs, Mark Sheff daripada dibuang ke dalam tong sampah semasa kediaman tersebut dibersihkan.
Sementara itu, Ketua Pengawai Eksekutif dan pengasas Julien’s Auctions berkata,”Steve Jobs mengubah dunia bukan sahaja dengan inovasi revolusinya tetapi dengan gaya kepimpinan dalam perniagaan dan fesyennya dalam menggunakan sandal.
“Birkenstocks dipakai oleh Jobs ketika dia mencipta sejarah dalam pembuatan komputer Apple dan merupakan ‘tandatangan kekal’ bagi ikon untuk teknologi itu,” tambahnya.
Selain itu, dalam jualan awam “Icons and Idols: Rock ‘n’ Roll”, Julien’s Auctions turut menjual memorabilia, pakaian, peralatan muzik dan barang kemas daripada pemuzik dan tokoh budaya pop termasuk Elvis Presley, Kurt Cobain dan John Lennon.
Bukan sahaja sandal Steve Jobs, malah sepasang kasut Nike Air Ships yang dipakai oleh legenda bola keranjang Michael Jordan turut terjual pada harga RM6.7 juta dan telah memecahkan rekod harga jualan tertinggi untuk jualan sepasang kasut lelongan.
Sumber: Daily Trust