Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) memaklumkan bahawa 34 peratus telah keluar mengundi bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) setakat jam 10 pagi tadi.
“Statistik keluar mengundi bagi Undi Awal PRU Ke-15 pada jam 10 pagi adalah 34%,” kata SPR dalam kenyataan ringkas di Facebook.
Bagi proses Undi Awal, sebanyak 578 pusat pengundian awal di seluruh negara membabitkan 970 saluran dibuka seawal jam 8 pagi bagi PRU15 dan Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah, lapor Bernama.
Menurut Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR), seramai 224,828 anggota keselamatan yang terlibat dalam pengundian awal terdiri daripada 117,473 anggota tentera serta pasangan manakala baki 107,355 pengundi lagi adalah anggota polis dan pasangan.
Bermula jam 12 tengah hari hingga 5 petang, pusat mengundi akan ditutup secara berperingkat melibatkan Ibu Pejabat Polis Kontinjen, Ibu Pejabat Polis Daerah dan kem tentera.
Sebanyak 21.2 juta pengundi termasuk 20.91 juta daripadanya adalah pengundi biasa direkodkan berdasarkan data yang digunakan dalam PRU15 oleh DPPR.
Dalam pada itu, sebanyak 222 kerusi Parlimen yang dipertandingkan dalam PRU15 kali ini dengan 117 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) melibatkan negeri Pahang, Perlis dan Perak serta Bugaya di Sabah
Terdahulu, SPR telah mengumumkan bahawa tarikh bagi hari mengundi jatuh pada 19 November ini.
Sumber: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR)
BACA JUGA: “Jawatan Kosong Ada 2 Tapi Beratur Panjang,” Ini Kesilapan Ramai Buat Bila Nak Cari Kerja