Siakap Keli

“Boleh Dapat Pampasan Sehingga..,” Ketahui Hak Lelaki Jika Jadi Mangsa Gangguan Seksual

“Boleh Dapat Pampasan Sehingga..,” Ketahui Hak Lelaki Jika Jadi Mangsa Gangguan Seksual

Lazimnya, banyak kes yang berkaitan dengan gangguan seksual ini sering kali didengari membabitkan kaum wanita sebagai mangsa. Stigma bahawa kaum wanita sahaja yang boleh menjadi mangsa gangguan seksual ini perlu diubah kerana ia boleh terjadi kepada sesiapa sahaja tanpa mengira umur, jantina, serta bangsa.

Terdapat juga kaum lelaki yang pernah menjadi mangsa gangguan seksual namun lebih memilih untuk berdiam diri kerana dibelenggu dengan stigma bahawa lelaki merupakan insan yang gagah dan tak seharusnya menjadi mangsa.

Pun begitu, perlu diingatkan bahawa laporan polis yang membabitkan lelaki sebagai mangsa gangguan seksual ini wujud. Jumlah mangsa ini juga mungkin akan meningkat saban tahun.

Gangguan seksual ini boleh terjadi dan diklasifikasikan dalam pelbagai bentuk serta perbuatan. Ianya merangkumi kelakuan bersifat seksual dalam apa-apa bentuk, sama ada secara lisan, bukan lisan, visual, isyarat atau fizikal, yang ditujukan kepada seseorang secara munasabahnya menyinggung atau menghina atau menjadi ancaman kepada kesejahteraannya.

Justeru pada kaum lelaki, jika anda pernah terkena apa-apa bentuk gangguan seksual dan tak tahu nak buat apa, segera laporkan kepada pihak berkuasa atau salurkan maklumat terus ke Talian Kasih 15999 di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Jangan berdiam diri kerana Kerajaan pada 15 Disember 2021 lalu telah pun membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Gangguan Seksual ini buat kali pertamanya di Dewan Rakyat.

RUU ini dibangunkan sebagai satu manifestasi penting bagi menunjukkan bahawa kesalahan gangguan seksual merupakan satu pelanggaran hak asasi manusia dan suatu bentuk keganasan berasaskan jantina.

RUU itu memperuntukkan penubuhan tribunal khusus yang dikenali sebagai Tribunal bagi Antigangguan Seksual untuk mendengar aduan pengadu.

Dalam RUU itu juga turut membabitkan pemakaian undang-undang yang lebih meluas tanpa mengira kesalahan yang berlaku di tempat kerja atau mana-mana tempat lain. Standard pembuktian bagi menentukan gangguan seksual adalah secara imbangan kebarangkalian.

Kerajaan juga berusaha untuk menggubal RUU ini kerana berpendapat bahawa ianya adalah keperluan bagi melengkapi perundangan dan polisi sedia ada membabitkan gangguan seksual di Malaysia. Ianya kerana, undang-undang sebelum ini hanya memfokuskan kepada menghukum pelaku manakala mangsanya seakan tidak dapat apa-apa ganti rugi daripada kesan yang perlu ditanggung.

Oleh itu, tidak kira sama ada mangsa berjantina lelaki atau perempuan dan warganegara, kesemuanya layak untuk mendapat bayaran pampasan atau ganti rugi sehingga RM250,000 daripada pelaku sekiranya tribunal mendapati bahawa terdapat bukti gangguan seksual yang dilakukan. Justeru daripada itu, sekiranya anda pernah atau pun sedang menjadi mangsa gangguan seksual ini, segeralah ambil tindakan bagi membendung daripada perkara yang tak diingini.

Untuk pengetahuan anda semua, Rang Undang-undang Anti Gangguan Seksual (AGS) merupakan salah satu inisiatif yang digariskan dalam usaha Kerajaan untuk memperkasakan wanita kerana mereka juga layak dihormati dan diiktiraf berikut turut menjadi tonggak pembangunan negara.

Antara inisiatif pemerkasaan wanita yang lain adalah Penubuhan Majlis Wanita Negara (MWN), Pemerkasaan Institusi Hakam di bawah Mahkamah Syariah, Akta Pembiayaan Kewangan Melalui Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Sambutan Hari Wanita Setiap Tahun dan Kebenaran Bekerja Dari Rumah (BDR) bagi wanita yang kehilangan suami.

1.Pertubuhan Majlis Wanita Negara

-Majlis Wanita Negara, Jawatankuasa Eksekurif Wanita Negara dan Jawatankuasa Kerja Wanita Negeri ini ditubuhkan untuk memperkasa peranan wanita di peringkat Persekutuan hingga ke peringkat Negeri.

2.Pemerkasaan Institusi Hakam di bawah Mahkamah Syariah

-Inisiatif ini pula bertujuan untuk membantu, memudah dan mempercepatkan wanita menghadapi proses perceraian yang panjang, serta memantapkan Institusi Hakam.

3.Akta Pembiayaan Kewangan Melalui Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia

-Akta Pembiayaan Kewangan ini membolehkan pihak bank untuk membekukan akaun bank suami sekiranya ada tuntutan nafkah di mahkamah yang tidak dilunaskan tanpa sebab yang munasabah.

4.Sambutan Hari Wanita Setiap Tahun

-Kerajaan telah bersetuju untuk melaksanakan Hari Wanita pada 8 Mac setiap tahun di semua peringkat.

5.Bekerja Dari Rumah (BDR)

-Kerajan telah mengumumkan untuk membenarkan wanita yang kematian suami mengikut tempoh yang bersesuaian.

Kredit: PMO

Untuk ketahui dengan lebih jelas mengenai RUU anti gangguan seksual ini, layari laman sesawang PMO

Aqmal Ezany

I write what is right